29 January 2012

Maut dirempuh kereta awal pagi

NIBONG TEBAL 29 Jan. - Seorang lelaki terbunuh selepas kereta jenis Nissan Sunny dipandunya dirempuh sebuah kereta lain di Jalan Besar Sungai Bakap, awal pagi ini.

Teoh Kim Seah, 49, berasal dari Tanjung Piandang, Perak mati di Hospital Sungai Bakap (HSB) selepas dia dikeluarkan dari kereta yang putus dua itu oleh anggota penyelamat dalam kejadian pukul 5.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supritendan Shafien Mamat berkata, sebuah kereta jenis Proton Waja yang dikatakan dipandu laju terbabas dan memasuki lorong bertentangan sebelum merempuh kereta dipandu Kim Seah.

"Akibatnya, kereta mangsa terputus dua dan dia tersepit di tempat duduk pemandu. Sepasukan anggota bomba dan penyelamat terpaksa mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa.

"Dia bagaimanapun mati di HSB akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan manakala pemandu Proton Waja yang berusia 31 tahun hanya cedera ringan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah, di sini hari ini.

Shafien menambah, polis masih menyiasat punca sebenar kereta Proton Waja itu dikatakan terbabas termasuk kemungkinan pemandunya berada di bawah pengaruh alkohol.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

0 comments:

Post a Comment