31 January 2012

Mati dalam keadaan duduk dengan kaki berlunjur serta kepala tertunduk


KUALA LUMPUR: Mahkamah Koroner di sini semalam diberitahu bahawa pemandu teksi, Baharudin Ahmad, 59, ditemui dalam keadaan duduk dengan kaki berlunjur serta kepala tertunduk dalam bangunan Avenue K pada Julai tahun lalu.

Perkara itu dimaklumkan saksi kedua, Syaira Diyana Shaharudin, 28, dalam inkues menyiasat kematian Baharudin yang dikatakan rebah di pekarangan KLCC ketika perhimpunan haram berlangsung sebelum disahkan meninggal dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 9 Julai 2011 Syaira Diyana yang mendakwa berada di kawasan KLCC bersama ibu dan adik lelakinya untuk makan tengah hari memberitahu mahkamah bahawa dia bertemu dengan si mati ketika lari masuk dalam bangunan itu selepas panik serta takut apabila mendengar jeritan ‘lari’ daripada orang ramai.

“Saya pergi ke KLCC menaiki teksi bersama ibu dan adik jam 10 pagi. Selepas selesai makan di tingkat lima, kami bercadang berjumpa ayah yang berada di Kelana Jaya. Bagaimanapun selepas mendapati perkhidmatan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) KLCC ditutup, kami hanya duduk di kawasan berdekatan.


“Ketika duduk di stesen bas berhampiran, tiba-tiba saya mendengar jeritan lari daripada orang ramai. Keadaan itu menyebabkan saya takut dan lari ke arah bangunan Avenue K. Ketika itu pintu dikunci, namun saya menjerit minta dibenarkan masuk. Saya masuk berlari dan ketika itu ternampak si mati,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Kalmizah Salleh.

Menurutnya, dia berpatah semula dan melihat keadaan lelaki itu tidak bergerak dan menjerit meminta tolong kepada beberapa lelaki yang berada dalam bangunan itu.


“Mereka datang memberi bantuan. Ada yang berikan air, membasahkan mukanya dan ada yang membaca ayat al-Quran. Mereka maklumkan ia adalah sawan, jadi tidak perlu panggil ambulans. Saya tunggu dan tiada bantuan lain tiba. Oleh itu saya bertindak menghubungi 999. “Saya diminta supaya tidak meletakkan telefon dan mereka mengajar saya untuk memeriksa nadi di pergelangan tangan, namun gagal selepas dicuba.


Selepas itu, saya mengira degupan jantungnya dan begitu lemah antara lima hingga keenam degupan. Kemudian saya dimaklumkan yang ambulans dalam perjalanan,” katanya.

0 comments:

Post a Comment