17 January 2012

Mangsa siram asid syukur tak buta

KOTA BHARU: “Saya bersyukur kerana masih dapat melihat,” kata ejen insurans, Wan Hussin Wan Yusof, 52, yang melecur teruk di muka dan badan akibat disiram sejenis cecair dipercayai asid, Sabtu lalu.
Menurutnya, dia enggan mengulas lanjut kejadian itu dan menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan.

“Saya menyerahkan kes ini kepada polis untuk tindakan lanjut. Tak perlulah memanjangkan berita ini (kejadian disiram asid),” katanya ketika ditemui di Wad Teratai Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, semalam.
Sementara itu, anak lelaki Wan Hussin yang enggan dikenali berusia lingkungan 20-an berkata, keadaan ayahnya semakin baik, tetapi perlu mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, ketika ini ayahnya hanya boleh makan makanan lembut dan perlu dijaga.

“Alhamdulillah, ayah semakin pulih, walaupun mengalami kecederaan di muka dan sedikit bahagian badan.
“Ayah juga dapat melihat dan tidak mengalami masalah teruk pada matanya,” katanya yang tidak membenarkan wajah ayahnya dirakam.

Kelmarin, Harian Metro melaporkan, Wan Hussin baru keluar dari kereta untuk membeli rokok disiram sejenis cecair dipercayai asid sehingga melecur teruk pada bahagian muka dan badan.
Dalam kejadian jam 11.30 malam di Kampung Tendong, Pasir Mas, mangsa sempat menghubungi adiknya, Wan Sulaiman, 48, memaklumkan kejadian menimpanya sebelum dibawa ke HRPZ II oleh orang ramai.

Semalam, dua bekas isteri mangsa yang berusia 31 dan 42 tahun dilaporkan ditahan di rumah masing-masing di Kota Bharu dan Tumpat untuk membantu siasatan kes berkenaan.

Bagaimanapun, dua lagi lelaki dipercayai terbabit dalam serangan itu masih diburu, namun setakat ini motif serangan masih dalam siasatan.

0 comments:

Post a Comment