15 January 2012

Malaysia jadi pilihan ‘rumah kedua’

KEPONG: Kaji selidik Indeks Persaraan 2012 dilakukan sebuah majalah asing mendapati Malaysia menduduki tangga keempat daripada 10 negara teratas yang menjadi pilihan pesara dari luar negara terutama Eropah untuk dijadikan sebagai ‘rumah kedua’.
Pemilihan negara ini sebagai lokasi untuk bermastautin selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk kos hidup murah, selain memberi pulangan nilai bagi wang pencen digunakan ketika bersara berbanding jika menetap di negara maju seperti di Amerika Syarikat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata, kajian berkenaan walaupun bukan bersifat mutlak, tetapi membuktikan negara ini menjadi pilihan pesara dari negara maju untuk tinggal lebih lama.
“Walaupun baru diumumkan dalam majalah luar negara itu, kaji selidik berkenaan cukup membanggakan kita kerana meletakkan Malaysia pada kedudukan keempat pilihan pesara dari negara maju untuk bermastautin,” katanya.

“Antara faktor diberi pertimbangan termasuk juga keadaan cuaca, corak kehidupan masyarakat setempat, kos hidup dan paling utama sikap mudah mesra rakyat negara ini seolah-olah mereka berada di negara sendiri,” katanya pada sidang media di Kompleks Sukan DBKL Sri Delima di sini, semalam.

Terdahulu, Dr Koh merasmikan Forum Tanggungjawab Sosial Komuniti (CSR): 'Ke Arah Kuala Lumpur Lebih Baik' bertujuan meningkatkan kesedaran kalangan warga kota sejajar menjadikan bandaraya Kuala Lumpur bertaraf dunia seperti disasarkan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB).

0 comments:

Post a Comment