20 January 2012

Mahfuz: Pas tidak mahu layan kerenah Umno

SHAH ALAM - Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar menegaskan, pihaknya tidak akan membuang masa melayan kerenah parti yang telah "busuk" - Umno untuk mengadakan sesi dialog kerjasama politik.

Semalam, rakan sejawatannya dari Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau menyokong idea dilontarkan oleh bekas Timbalan Presiden Pas Nasharudin Mat Isa awal minggu ini demi kebaikan negara.

Ahli Parlimen Pokok Sena ini menambah, sudah cukup peluang yang diberi Pas kepada Umno dengan melakukan sesi dialog di Parlimen dan forum di pelbagai tempat.

"Pas kini jelas, faham malah bersedia bersama Pakatan Rakyat (PR) untuk mengambil alih kuasa dari Umno dan BN atas nama kebangkitan rakyat dan berkongsi negara bersama sebagai satu keluarga.

"Pas akan ganti Umno," kata beliau dalam satu mesej pesanan ringkas (SMS) kepada Sinar Harian Online hari ini.

Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, beliau bersetuju dengan cadangan seorang bekas pemimpin tertinggi PAS supaya kedua-dua parti berdialog untuk kebaikan negara.

Beliau berkata, Umno mungkin bersetuju menyertai dialog itu sekiranya perbincangan berkenaan lebih menjurus kepada membentuk perpaduan umat Islam di negara ini.

“Sebagai salah seorang pemimpin Umno saya bersependapat dengan Nasharudin kerana ia akan memberi manfaat besar kepada umat Islam di negara ini," katanya.

Nasharudin ketika menjawab soalan peserta Persidangan Antarabangsa Pergerakan Kesederhanaan Global Selasa lalu berkata isu cadangan perbincangan antara Umno dan parti Islam itu bukan mengenai pembentukan sebuah pakatan tetapi hanya sebagai saling interaksi demi kebaikan negara.

0 comments:

Post a Comment