28 January 2012

Liwat dan rogol

ENTAH mengapa Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim masih ghairah bercakap tentang perlunya dipinda undang-undang lapuk termasuk berkaitan liwat.

Apa motif beliau? Lalu Awang teringat bahawa nada beliau sama dengan gesaan badan antarabangsa Human Rights Watch (HRW) beberapa minggu sebelum kenyataan Anwar.

Menurut HRW, kerajaan Malaysia perlu menarik balik undang-undang warisan era penjajah yang mengkategorikan sebagai jenayah, sebarang perlakuan seksual di antara manusia sejenis.

‘‘Sama ada Anwar benar-benar melakukan liwat secara suka sama suka atau tidak, ia tidak relevan sama sekali.” 

‘‘Undang-undang yang menghukum perlakuan seksual secara suka sama suka di antara orang dewasa sejenis, merupakan pencerobohan hak privasi dan peribadi,” kata Phil Robertson , timbalan pengarah HRW bagi rantau Asia. 

Pendirian HRW berhubung isu ini mendapat reaksi positif beberapa NGO berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Awang percaya saranan Anwar akan terus mendapat sokongan susulan daripada HRW dan NGO berkaitan LGBT walaupun majoriti rakyat dan pelbagai pihak di Malaysia telah menyatakan bantahan.

Dalam pada itu, Awang tertarik dengan laporan berita dari Amerika Syarikat, baru-baru ini. Gabenor Kansas, Sam Brown yang menubuhkan Pejabat Pemansuhan bagi mencadangkan pemansuhan undang-undang lapuk, tidak menyenaraikan akta jenayah liwat dalam senarai cadangan terbaru pejabat itu. 

Brown yang merupakan ahli Parti Republikan mengeluarkan senarai cadangan rang undang-undang untuk dimansuhkan kepada Badan Perundangan AS. Dengan kata lain, akta itu tetap diguna pakai dalam undang-undang di Kansas. 

Keputusan itu menimbulkan kemarahan golongan gay. Brown yang lantang menentang perkahwinan sejenis, enggan mengulas termasuk tekanan yang dihadapinya. Rupa-rupanya di AS, masih ada kalangan yang berani menolak amalan seks songsang.

Selain itu, pentadbiran Presiden Barack Obama mengumumkan peluasan definsi rogol dalam bidang kuasa Biro Siasatan Persekutuan (FBI) yang kini akan meliputi beberapa serangan seksual dan rogol ke atas lelaki.
Ini adalah pertama kali definisi rogol meliputi kedua-dua jantina mangsa. ‘‘Pengumuman ini membawa mesej tegas bahawa rogol tetap rogol, tidak kira anda lelaki kerana lelaki juga boleh dirogol ataupun dirogol dengan objek dan jika anda terlalu mabuk untuk membenarkannya,” kata Susan B. Carbon dari pejabat Jabatan Kehakiman. 

FBI, badan siasatan dan analisis jenayah paling berpengaruh, melihat ke hadapan dengan mengambil kira realiti ancaman masa kini, yang lelaki juga mudah menjadi mangsa. Renungkan.

0 comments:

Post a Comment