20 January 2012

Lelaki tidur di surau rentung

GOMBAK: “Amir baru seminggu datang dari Indonesia untuk melawat abangnya dan tinggal di dalam surau di kedai perabot saya. Namun dia gagal menyelamatkan diri dalam kejadian kebakaran awal pagi semalam selepas terperangkap,” kata Hermanto, 26, pemilik kedai yang musnah dalam kebakaran di Taman Industri Bolton, Gombak, dekat sini, pagi semalam.
Dia berkata, Amir yang berusia 20-an, menumpang sementara di surau itu namun tidak menyangka dia rentung dalam kebakaran itu.

Menurutnya, dia hanya mengetahui kejadian ini selepas dihubungi pekerja yang menyedari kebakaran itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, tujuh kedai terbakar malah dua kereta dan empat motosikal yang diletakkan berhampiran turut musnah dalam kebakaran itu.

Saksi kejadian yang hanya ingin dikenali sebagai Ali, 20-an berkata, ketika kejadian itu dia sedang menonton televisyen di belakang salah sebuah kedai itu sebelum terkejut apabila mendapati tiba-tiba api marak.

“Sebaik melihat api marak, saya terus melarikan diri kerana bimbang terperangkap dalam kebakaran itu,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohamad Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2.35 pagi dan tiba di tempat kejadian 12 minit kemudian sebelum mengawal kebakaran jam 5 pagi.

0 comments:

Post a Comment