27 January 2012

Laluan 'maut' nanti pemain badminton

Galas tugas Piala Thomas, Piala Uber

LALUAN berduri seakan-akan sudah membayangi skuad negara menghadapi pusingan kelayakan Piala Thomas-Uber di Macau dari 13 hingga 19 Februari apabila tidak diletakkan antara empat pasukan pilihan dalam senarai yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), semalam. 

Sebaliknya, skuad yang diterajui pemain nombor satu dunia, Lee Chong Wei (kanan) itu sekadar diletakkan sebagai pilihan kelima yang dikira berdasarkan mata dan kedudukan ranking pemain yang disenaraikan beraksi pada pusingan kelayakan itu. 

China yang sudah layak secara automatik beraksi di pusingan akhir Mei depan atas tiket juara bertahan dan tuan rumah seperti diduga diletakkan pilihan pertama dengan mengumpul 403,977.41 mata, diikuti Korea Selatan (305,419.19), Jepun (267,922.69) dan Indonesia (263,575.34).

Ini bermakna dalam undian kumpulan yang akan dijalankan Isnin di Macau, skuad negara akan diundi dalam mana-mana empat kumpulan yang diketuai China, Korea Selatan, Jepun atau Indonesia sekali gus membayangkan kesukaran yang bakal dihadapi.

Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenny Goh bagaimanapun menegaskan kedudukan itu tidak begitu penting, sebaliknya menyifatkan gambaran mengenai peluang sebenar skuad negara pada pusingan kelayakan itu bergantung kepada undian yang akan diketahui Isnin ini.

“Sebenarnya, kita sudah menjangka kedudukan itu berdasarkan ranking pemain kita berbanding pemain empat pasukan pilihan itu yang jauh lebih rendah kecuali Chong Wei. Namun, gambaran sebenar mengenai peluang kita akan diketahui lebih jelas dalam undian Isnin ini,” katanya.

Sementara itu, skuad wanita pula diletakkan sebagai pasukan pilihan kesembilan di belakang China, Jepun, Taiwan, Thailand, Indonesia, India, Singapura dan Hong Kong.

0 comments:

Post a Comment