27 January 2012

Laluan Malaysia sukar


CHONG WEI mengetuai cabaran Malaysia pada kelayakan Piala Thomas di Macau.

PELUANG skuad negara untuk mara sekurang-kurangnya ke pusingan akhir Kejohanan Badminton Piala Thomas/Uber 2012 nampak semakin sukar.

Ini kerana, dalam saingan Piala Thomas, skuad negara sekadar diletakkan sebagai pasukan pilihan kelima berdasarkan kedudukan yang dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) semalam menjelang kempen kelayakan di Macau bulan depan.

Situasi itu sekali gus akan menyu- karkan laluan skuad negara untuk mengelak 'malapetaka' gagal buat pertama kalinya mara ke pusingan akhir apabila dijangka diundi bersama-sama China, Korea Selatan, Jepun dan Indonesia yang berada dalam kelompok empat pasukan pilihan.

China akan turun sebagai pilihan pertama, Korea (kedua), Jepun (ketiga) dan Indonesia (keempat).

Kedudukan sebagai pasukan pilihan ditentukan menerusi pungutan mata tertinggi berdasarkan ranking dunia setiap pemain yang bakal beraksi pada kempen kelayakan kali ini.

Meskipun laluan skuad negara dijangka sukar, namun ketua jurulatih perseorangan, Rashid Sidek tetap optimis dengan peluang untuk meneruskan rentak kecemerlangan ke pusingan akhir.

"Mahu ataupun tidak, kita tidak boleh lari daripada berdepan salah satu pasukan yang berada dalam kelompok empat pasukan pilihan. Jika tidak diundi bersama-sama China, kita mungkin dalam kumpulan dengan Korea Selatan, Jepun ataupun Indonesia.

"Namun saya percaya, peluang skuad negara untuk ke pusingan akhir tetap ada.

"Jika dilihat berdasarkan pemain yang beraksi, China pun tidak menurunkan skuad terbaik kerana perseorangan utama mereka, Lin Dan dan beregu, Fu Haifeng-Cai Yun tidak beraksi pada kempen kali ini.

"Jika berdepan Korea Selatan, saya akui peluang sedikit sukar. Begitupun, Jepun dan Indonesia tidaklah kuat sangat berbanding dengan skuad negara," kata Rashid ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, apa jua situasi yang perlu dihadapi, jaguh perseorangan, Datuk Lee Chong Wei dan beregu utama, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong 'wajib' menyumbangkan mata buat skuad negara.

Sementara itu, situasi sama turut menyelubungi skuad wanita negara yang bakal beraksi dalam saingan Piala Thomas apabila diletakkan sebagai pasukan pilihan kesembilan.

Seperti diramal, China bakal tampil sebagai pasukan pilihan pertama diikuti, Jepun (kedua), Taiwan (ketiga), Thailand (keempat) dan Indonesia (kelima).

Berdasarkan format kejohanan, hanya empat pasukan terbaik dari kelayakan zon Asia layak bersaing pada pusingan akhir yang akan berlangsung di Wuhan, China pada 20 hingga 27 Mei depan.

Bagaimanapun, andai China berjaya bergelar juara pada kempen kelayakan kali ini, pasukan kelima terbaik akan layak ke pusingan akhir.

Ini kerana, China telah pun layak secara automatik atas tiket sebagai juara bertahan. 

'Negara Tembok Besar' itu mengambil bahagian pada kempen kali ini adalah bagi tujuan mengumpul mata untuk layak ke Sukan Olimpik 2012 di Londo Julai depan.

Kempen kelayakan Piala Thomas/ Uber 2012 bakal berlangsung di Macau bermula 13 hingga 19 Februari depan.

0 comments:

Post a Comment