14 January 2012

Kristen Stewart jurucakap Balenciaga

LOS ANGELES 14 Jan. - Aktres Kristen Stewart dilaporkan telah menandatangani satu kontrak untuk menjadi jurucakap wangian terbaru jenama Balenciaga bagi musim luruh ini.
Stewart berkata, dia gembira mewakili jenama itu kerana Balenciaga memahami keinginannya.
"Ketika saya mula berjinak-jinak dengan fesyen, saya akui agak sukar untuk saya tentukan jenama minyak wangi yang saya perlu pakai.
"Namun, saya boleh kenal bau wangian Balenciaga. Ia sangat hebat dan sukar ditolak," katanya kepada jurnal fesyen, Women's Wear Daily (WWD).
Pengarah kreatif Balenciaga, Nicolas Ghesquière memberitahu WWD, pemilihan aktres Twilight itu dibuat kerana citarasanya yang tinggi dalam berfesyen.
"Stewart mewakili kemodenan wangian baru jenama ini daripada segi keunikan serta kebijaksanaannya," kata Ghesquière.
Balenciaga dilancarkan pada 1914 dan kini merupakan antara gedung terkenal fesyen Perancis.
Dalam perkembangan terbaru aktres itu, Stewart akan bergandingan dengan pelakon Charlize Theron dan Chris Hemsworth menerusi filem Snow White serta Huntsman yang akan ditayangkan di Amerika Syarikat dan United Kingdom pada 1 Jun ini. - Agensi

0 comments:

Post a Comment