20 January 2012

Ketua 'Baju Merah' sertai Kabinet

BANGKOK - Pemimpin kumpulan 'Baju Merah' yang didakwa atas tuduhan keganasan semasa protes antikerajaan pada 2010, merupakan antara muka baru yang dipilih menyertai Kabinet Thailand dalam rombakan terbaru, yang mencetuskan kontroversi, semalam.

Rombakan itu turut mencetuskan kontroversi apabila seorang ahli perniagaan wanita yang disenarai hitam daripada transaksi kewangan di Amerika Syarikat (AS) turut dilantik menganggotai Kabinet.

Nattawut Saikua, seorang daripada pemimpin antikerajaan semasa protes yang menyaksikan pusat bandar Bangkok lumpuh, dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian, sementara Nalinee Thaveesin dipilih sebagai Menteri di Pejabat Perdana Menteri.

Nattawut merupakan seorang daripada penyokong setia bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra.
Beliau menghadapi dakwaan keganasan yang masih belum disebut di mahkamah melibatkan serangan bersenjata oleh penunjuk perasaan 'Baju Merah' ke atas anggota keselamatan serta beberapa tuduhan senjaga menyebabkan kebakaran semasa protes tersebut.

Pelantikan Nalinee juga mencetuskan kontroversi kerana akhbar tempatan semalam melaporkan, Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) pada 2008 menamakannya sebagai kroni Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe, sekali gus melarang rakyat AS menjalankan urus niaga dengannya.

Lapor akhbar itu, sebarang aset AS juga tidak boleh diakses Nalinee kerana beliau dilapor membantu menyalurkan transaksi berkaitan batu permata, kewangan dan hartanah kepada isteri Mugabe serta individu lain di Zimbabwe.

Nalinee sebelum ini menafikan dakwaan tersebut.

Perdana Menteri Yingluck Shinawatra itu turut menggugurkan 10 anggota Kabinet, manakala enam lagi ditukar portfolio dalam langkah memperkasakan barisan Kabinetnya berusia lima bulan itu.

Antara yang digugurkan ialah Timbalan Perdana Menteri, Jeneral Polis Kowit Wattana; Menteri Di Pejabat Perdana Menteri, Kritsana Srihalak; Menteri Kewangan, Thirachai Phuvanatnaranubala; Menteri Perindustrian, Warnnarat Charnnukul; dan Menteri Tenaga, Pichai Naripthapan. - AGENSI

0 comments:

Post a Comment