15 January 2012

Ketampanan lelaki tingkat peluang hamil

PHILADELPHIA: Satu kajian yang dijalankan di Universiti Negeri Pennsylvania menyatakan bahawa penampilan fizikal dan ketampanan seseorang lelaki mempunyai fungsi besar untuk meningkatkan peluang kehamilan pasangannya.

Kumpulan penyelidik di universiti itu mendapati daya tarikan fizikal lelaki mempunyai kaitan dengan kepuasan bercinta bagi pasangannya dan mempengaruhi peluang kehamilan.
Penyelidik berkenaan menjalankan kajian ke atas 110 pasangan yang datang dari pelbagai wilayah di Amerika. Mereka mengambil gambar lelaki terbabit dan mengukur bentuk tubuh berdasarkan penilaian tubuh yang ideal.
Responden wanita kemudian diminta membuat penilaian berdasarkan susunan gambar dan menyatakan tahap kepuasan ketika bercinta dan berasmara.

“Hasil penelitian yang dijalankan menunjukkan, wanita memperoleh lebih kepuasan jika pasangannya mempunyai tubuh dan wajah yang dianggap penarik.

“Kami juga mendapati responden wanita yang memiliki pasangan tampan, cenderung untuk mempunyai ramai anak,” kata seorang penyelidik dalam kumpulan itu.

Bagaimanapun, hasil kajian itu menimbulkan kontroversi dan ia dipercayai menyebabkan lelaki berwajah tampan berasa angkuh.
Pakar kesihatan dan terapi seks dari New Zealand, Robyn Salisbury, berkata beliau meragui wujudnya kaitan antara kepuasan bersama pasangan tampan dengan peningkatan peluang kehamilan.

“Ketampanan pasangan mungkin menjadi satu faktor mempengaruhi kehamilan, tetapi ia bukanlah faktor utama,” katanya. – Agensi

0 comments:

Post a Comment