18 January 2012

Kereta melambung

KUALA TERENGGANU: Empat lelaki maut manakala seorang wanita terselamat dalam kemalangan ngeri membabitkan tiga kereta di Jalan Sultan Mizan berhampiran Taman Semarak, di sini, kira-kira jam 6.25 petang semalam.
Mangsa terbunuh dikenali sebagai Mohd Rizal Ibrahim, 30, dari Sungai Limau, Baling, Kedah dan rakannya, Mohd Faris Mohd Shaimi, 26, kakitangan Institut Latihan Perindustrian Kuala Terengganu yang menaiki kereta jenis Honda.

Dua mangsa lagi yang maut menaiki kereta Perodua Kancil dikenali sebagai Nor Azmi Mat Jusoh, 21, dari Felda Mengkawang, Kuala Berang, Hulu Terengganu dan Mohd Zaini Abdul Razak, 43, yang berasal dari Taman Ayer Keroh Height 1, Ayer Keroh, Melaka.
Semua mangsa cedera parah di kepala dan badan. Manakala mangsa terselamat ialah Noriani Mohamad, 36, dari Kampung Mengabang Telung, di sini, yang memandu kereta Proton Persona.

Menurut saksi, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Honda dari arah Stadium Sultan Mizan, di sini, terbabas dan melambung sebelum menghempap kereta Perodua Kancil yang dalam perjalanan dari arah bertentangan.

“Kejadian itu menyebabkan pemandu Proton Persona yang berada di belakang Perodua Kancil itu terkejut sebelum membrek secara mengejut menyebabkan bahagian hadapan kereta berkenaan remuk,” katanya.
Sementara itu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Abdullah Zawawi Mamat yang mengetuai operasi berkenaan berkata, pihaknya tiba di tempat kejadian sebaik menerima panggilan daripada orang ramai kira-kira jam 6.30 petang.

“Kami mendapati empat daripada lima mangsa yang terbabit dalam kemalangan terbabit sudah meninggal dunia dan mengambil masa kira-kira setengah jam bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya.
Ketua Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam/Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Superintendan Che Khazahari Amat ketika dihubungi mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian itu.

0 comments:

Post a Comment