20 January 2012

Kastam rampas 3.3 kilogram ketamin, tahan warga India

BUKIT MERTAJAM 20 Jan. - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menahan seorang lelaki warga India dan merampas 3.3 kilogram dadah jenis ketamin di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang semalam.

Suspek yang berasal dari selatan India dan berusia lingkungan 40-an ditahan kira-kira pukul 9.30 pagi sebaik sahaja tiba dari Kuala Lumpur menaiki sebuah pesawat.

Pengarah JKDM negeri, Zulkifli Yahya berkata, setelah diperiksa, pihaknya menemui satu bungkusan dalam ruangan khas bagasi suspek yang berisi kain sari.

Menurutnya, suspek menaiki penerbangan dari New Delhi, India dan tiba di sini selepas transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Hasil pemeriksaan lanjut, bungkusan plastik itu berisi serbuk putih kristal disyaki dadah jenis ketamin bernilai RM100,000," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Pencegahan JKDM negeri di Perai di sini.

Zulkifli berkata, siasatan awal mendapati, suspek kali pertama datang ke negeri ini dan pihaknya masih menyiasat kemungkinan dia terlibat dalam sindiket pengedaran dadah.

Beliau berkata, lelaki berkenaan ditahan reman selama 14 hari sehingga 2 Februari ini bagi membantu siasatan.

Menurutnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

0 comments:

Post a Comment