14 January 2012

Karam bagai Titanic

BOT penyelamat menghampiri  Costa Concordia yang  tenggelam tidak jauh dari pantai pulau Giglio, Itali, semalam.
BOT penyelamat menghampiri Costa Concordia yang tenggelam tidak jauh dari pantai pulau Giglio, Itali, semalam.
ROME: Sebuah kapal persiaran mewah karam di persisiran Tuscany, menyebabkan sekurang-kurangnya lapan maut dan memaksa 4,165 penumpang dipindahkan dengan bot penyelamat ke pulau berhampiran semalam, kata pengawal pantai Itali.

Kira-kira 69 orang masih hilang selepas helikopter dikerah mengangkut 50 mangsa yang terperangkap di atas kapal Costa Concordia ke tempat selamat, kata Komander Pengawal Pantai, Francesco Paolillo.
Paolillo berkata, tidak dapat dipastikan mangsa yang terbunuh adalah penumpang atau kru, begitu juga kerakyatan mangsa. Punca mereka maut masih belum diketahui.
Agensi berita ANSA, melaporkan beberapa orang melompat keluar untuk menyelamatkan diri daripada kapal yang baru memulakan pelayaran itu.

Mangsa yang terselamat ditempatkan di sekolah, hotel dan gereja di pulau Giglio, tempat percutian popular terletak kira-kira 25 kilometer ke pantai barat tengah Itali.

ANSA memetik dua wartawan Itali yang kebetulan antara penumpang sebagai berkata kemalangan berlaku ketika waktu makan malam.

“Kami sedang menikmati hidangan makan malam apabila lampu tiba-tiba terpadam, dan kemudian kami mendengar bunyi dentuman kuat dan makanan bertaburan di atas lantai,” ANSA memetik wartawan Luciano Castro, sebagai berkata.
“Kejadian berkenaan seperti adegan filem Titanic, semuanya terjadi dalam sekelip mata,” kata seorang lagi wartawan, Mara Parmegiani, kepada ANSA.

Paolillo berkata, punca utama kemalangan masih tidak diketahui tetapi penggera pertama berbunyi pada jam 10.30 malam, kira-kira tiga jam selepas Concordia memulakan pelayaran dari pelabuhan Civitavecchia, ke pelabuhan pertama, Savona, di barat laut Itali.

Pegawai pengawal pantai berkata, kapal berkenaan melanggar halangan, tidak diketahui jika ia mungkin melanggar batu karang di perairan Giglio, menyebabkan garisan sepanjang 50 meter di bahagian kiri kapal itu, dan mula dimasuki air.

Kapten kapal itu kemudian cuba mengemudikannya ke perairan cetek, berhampiran pelabuhan kecil Giglio, bagi menjadikan usaha memindahkan penumpang dengan bot penyelamat lebih mudah.

Namun, kapal berkenaan mula condong ke bahagian kanan, menjadikan usaha mendekatkan bot penyelamat semakin sukar.

Lima helikopter, dari pengawal pantai, tentera laut dan udara, mengambil giliran mengangkut mangsa yang masih berada di dalam kapal itu ke tempat selamat. Seorang anggota pengawal pantai diangkut ke kapal untuk membantu penumpang memasuki bakul kecil untuk memudahkan mereka dinaikkan ke helikopter, kata seorang pegawai pengawal pantai, Kapten Cosimo Nicastro.

Kenyataan Costa Cruises, syarikat yang mengendalikan kapal itu, mengesahkan pemindahan 3,200 penumpang dan 1,000 sudah bermula tetapi kedudukan kapal, yang semakin teruk, menjadikan bahagian terakhir pemindahan kian sukar.

Kenyataan tidak menyebut sebarang kematian dan berkata ia masih belum menentukan punca masalah. Kira-kira 1,000 penumpang Itali berada dalam kapal terbabit ketika kejadian, selain 500 warga Jerman, 160 Perancis dan 1,000 kru kapal. – AP

0 comments:

Post a Comment