20 January 2012

Kanak-kanak mangsa terbaru H5N1

JAKARTA 20 Jan. - Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun menjadi korban terbaru selesema burung di Indonesia tahun ini, selepas seorang saudara lelakinya meninggal dunia juga akibat virus H5N1 awal bulan lalu.

Mangsa kedua virus influenza itu tinggal serumah dengan saudara lelakinya, 24, yang meninggal dunia pada 7 Januari lalu.

Pihak berkuasa bagaimanapun berkata, tiada bukti menunjukkan kanak-kanak malang itu dijangkiti virus daripada mangsa pertama.

"Kanak-kanak itu meninggal dunia selepas beberapa hari dirawat di hospital. Kami telah menjalankan beberapa ujian dan keputusan menunjukkan mangsa dijangkiti virus influenza," kata Ketua Unit Penyakit Berjangkit di Kementerian Kesihatan Indonesia, Tjandra Yoga Aditama.

Katanya, mangsa tinggal berhampiran ladang ternakan ayam dan itik di Tanjung Priok, utara Jakarta, namun tidak dapat dipastikan sama ada dia dijangkiti virus daripada ayam atau burung merpati.

Kementerian Kesihatan Indonesia dalam laman webnya berkata, kematian terbaru itu menjadikan jumlah kes akibat selesema burung di republik ini meningkat kepada 184 kes dengan 152 daripadanya melibatkan kematian.

Vietnam semalam melaporkan kematian pertama akibat virus itu dalam tempoh dua tahun dan seorang kanak-kanak berusia dua tahun turut meninggal dunia akibat selesema burung di Kemboja. - AFP

0 comments:

Post a Comment