15 January 2012

Juruterbang lemas memancing di Dubai

KUALA LUMPUR: Seorang juruterbang warga Malaysia lemas, manakala empat lagi rakan senegaranya terselamat selepas bot pancing dinaiki mereka terbalik dipukul ombak besar di Perairan Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum dihanyutkan arus deras selama tujuh jam awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 1 pagi (waktu tempatan) itu, Saipul Mushi Shaari, 41, juruterbang Etihad Airways sejak sejak tiga tahun lalu dikatakan keluar memacing dari Pelabuhan Mina, Abu Dhabi bersama tiga rakan setugasnya dan seorang sepupu rakannya, menggunakan bot laju dipercayai miliknya.
Bagaimanapun, sebaik tiba di tengah laut, angin kencang berserta ombak besar menyebabkan bot mereka terumbang-ambing lalu terbalik, mengakibatkan kesemua mangsa tercampak ke laut sebelum dihanyutkan selama tujuh jam dalam cuaca buruk hingga ke laluan perkapalan antarabangsa.
Ketua Canseri Kedutaan Malaysia di Abu Dhabi, Abdullah Ma’amor Ibrahim ketika mengesahkan kejadian, berkata semua mangsa ditemui berpaut pada boya penanda laluan perkapalan antarabangsa itu kira-kira jam 8 pagi (waktu tempatan) oleh sekumpulan pemancing yang secara kebetulan melalui perairan itu sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan Pengawal Pantai UAE.

“Semua mangsa ditemui agak jauh dari lokasi bot dilaporkan terbalik, berdasarkan maklumat diperoleh, mereka tidak sempat membuat sebarang panggilan kecemasan ketika kejadian berlaku. Mujur ada kumpulan pemancing melalui kawasan itu dan terlihat mereka sebelum menghubungi Pengawal Pantai UAE. Jika tidak, sudah tentu mereka dihanyutkan lebih jauh.

“Dalam operasi menyelamat itu, seorang mangsa dilaporkan ditemui sudah meninggal dunia, manakala empat lagi mangsa ditemui dalam keadaan tidak bermaya kerana kesejukan dan terlalu lama berendam dalam air,” katanya ketika dihubungi semalam.

Selain Allahyarham, mangsa terselamat dikenali sebagai Taslem Shabudin yang juga seorang juruterbang di Etihad Airways; dua jurutera penyelenggara pesawat, Azrul Azam Bakar dan Siva Pragathesewaran Veeriah, selain sepupu Siva, Shri Kumaran Rajendran yang dikatakan baru tiba dari Kuala Lumpur untuk bercuti di bandar raya itu.
Katanya, mangsa kemudian dikejarkan ke Pusat Perubatan Sheikh Khalifah, Abu Dhabi, dengan dua daripadanya sehingga semalam masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk rawatan susulan, manakala dua lagi sudah dipindahkan ke wad biasa, namun keadaan mereka dilaporkan stabil.

“Hasil siasatan mendapati juruterbang itu meninggal dunia akibat lemas. Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut dilakukan ke atas jenazahnya bagi mengenal pasti punca sebenar kematian, malah pihak kedutaan akan menguruskan pengebumiannya secepat mungkin sebaik Jabatan Polis Abu Dhabi membenarkan mayatnya dituntut, ” katanya.

Abdullah berkata, pihaknya sudah memaklumkan tragedi menimpa juruterbang terbabit kepada keluarganya di Pulau Pinang.

0 comments:

Post a Comment