17 January 2012

Jumlah korban kini 27 orang


Anggota Palang Merah Lebanon dan Pertahanan Awam Lebanon mengangkat satu mayat yang ditemui di bawah runtuhan apartmen di Fassouh, Beirut, kelmarin. - REUTERS



BEIRUT 17 Jan. - Pasukan penyelamat terpaksa bertungkus lumus dalam cuaca buruk, semalam bagi mencari lebih banyak mayat di bawah runtuhan selepas sebuah pangsapuri lama runtuh di sini, kelmarin.
Operasi yang dijalankan tanpa henti sejak kelmarin itu sehingga kini telah menemui dua lagi mayat, menjadikan jumlah angka korban meningkat kepada 27 orang.

Bangunan enam tingkat itu runtuh malam kelmarin di Ashrafiyeh, sebuah kawasan penempatan Kristian di timur Beirut.

“Kami telah memindahkan 11 mayat terdiri daripada rakyat tempatan dan 16 rakyat asing, kebanyakannya dari Sudan ke bilik mayat sejak kejadian kelmarin,” kata seorang sukarelawan Palang Merah di tempat kejadian.

Pegawai berkata, harapan untuk menemui mangsa yang masih hidup juga semakin tipis.
“Tiada mangsa yang selamat ditemui sejak malam kelmarin,” kata seorang pegawai polis.
Ahli keluarga mangsa juga dilihat terus berada di lokasi kejadian, mengharap lebih ramai mangsa terselamat ditemui.

Antara yang terbunuh ialah seorang kanak-kanak perempuan berumur 15 tahun yang tinggal bersama neneknya, yang hanya mengalami kecederaan.

Turut cedera ialah seorang lelaki warga emas berusia 73 tahun, dua warga Sudan dan seorang masing-masing warga Mesir dan Filipina. - DPA

0 comments:

Post a Comment