28 January 2012

Jika Saya Bukan Atlet: Impi bina rumah idaman

BADANG negara, Mohd Hafifi Mansor bukan saja hebat menjulang beban malah teringin membina rumah idaman.

METRO AHAD (MA): Jika anda bukan atlet, apa karier pilihan anda? 


MOHD HAFIFI MANSOR (MHM): Saya mungkin menjadi kontraktor pembinaan, mengikut jejak Allahyarham bapa saya. Sejak Tahun Empat saya suka mengikut beliau membuat kerja membina rumah dan dari situ timbul minat. Hanya ketika berada dalam Tingkatan Satu, saya mula berminat dengan sukan angkat berat.



MA: Adakah bagi anda, kerjaya seperti ini sesuatu yang sukar? 


MHM: Tidak juga kerana bapa saya sudah melakukan kerja ini sejak lama. Hampir kebanyakan rumah di Kuala Terengganu mendapat sentuhannya termasuk kerja pemasangan peralatan di pejabat. Daripada situ saya didedahkan dengan perlunya bekerja keras untuk mencari rezeki dan membina kekuatan. Kekuatan daripada kerja seperti itulah yang membawa saya menyertai sukan ini.


MA: Mungkin ada sesuatu yang menarik minat anda untuk menceburkan diri dalam bidang pembinaan?

MHM:
Sewaktu kecil dulu, dengan upah RM20 yang diberi bapa sudah cukup menyeronokkan. Malah saya masih ingat membantunya pada bulan puasa semata-mata mahu mencari duit raya. Begitupun kini saya fikir bidang ini mempunyai potensi sebagai sumber pendapatan lumayan, baik membina rumah mahupun membuat kerja pengubahsuaian.


MA: Masih bertukang sehingga kini?

MHM:
Ada juga sekali-sekala, ketika saya pulang ke kampung. Ketika ini, perniagaan bapa diwarisi abang saya.


MA: Jika berpeluang, mungkinkah anda akan membina rumah sendiri?

MHM:
InsyaAllah. Sedikit sebanyak saya sudah mempunyai asasnya daripada apa yang saya pelajari sebelum ini. Mungkin saya akan membina rumah bersaiz sederhana atau rumah kampung, sesuai dengan jiwa saya.


MA: Hobi anda?

MHM:
Saya suka memancing di laut, biasanya ketika pulang ke Terengganu. Di sini, saya sekadar bermain snuker bagi mengisi masa lapang.


MA: Sukan angkat berat memerlukan kekuatan yang bukan calang-calang. Apa pandangan anda?

MHM:
Setiap orang mempunyai tenaga tapi sebenarnya yang penting adalah teknik angkatan, pemakanan serta asas yang betul.


MA: Apa akan anda lakukan 10 tahun lagi?

MHM:
Saya rasa saya akan terus berada dalam sukan ini selagi termampu. Masih banyak yang ingin saya sumbangkan kepada negara.


MA: Artis diminati?

MHM:
Aaron Aziz dan Rozita Che Wan.


MA: Sukan ini sering dikait dengan isu doping seperti yang dilapor baru-baru ini. Apa pandangan anda?

MHM:
Semua itu bergantung kepada diri sendiri. Bagi saya lebih baik bergantung kepada kekuatan diri sendiri tapi kita boleh lihat sama ada orang itu mengambil bahan terlarang atau sebaliknya.


MA: Anda bertanding dalam kategori 69kg. Mungkin anda boleh berkongsi dengan pembaca Metro Ahad bagaimana anda mendapatkan berat badan yang diingini terutama menjelang pertandingan.

MHM:
Sauna dan melakukan berjoging. Misalnya ketika kejohanan, berat badan saya sekitar 71 atau 72 kilogram, jadi saya giat melakukan sauna dan joging untuk menurunkan berat badan. Begitupun jika kita sudah tahu bila kejohanan diadakan, sudah tentu kita akan membuat persiapan lebih awal.

0 comments:

Post a Comment