25 January 2012

Isu Exco: Hasan Ali dakwa Pas jadi ‘pak turut’

Teka-teki calon ganti Hasan Ali
SHAH ALAM - Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, yang dipecat Pas awal bulan ini, hari ini mendakwa masyarakat melihat parti Islam itu terpaksa menjadi "pak turut" kepada parti komponen Pakatan Rakyat (PR) yang lain ekoran perubahan portfolio pentadbiran kerajaan negeri semalam.

Adun Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi dilantik sebagai Exco bagi menggantikan Hasan.

Hasan berkata, rombakan portfolio menurutnya agak ganjil dan pelik kerana Dr Ahmad Yunus hanya diberi portfolio Adat-adat Melayu, Belia dan Sukan manakala portfolio Hal Ehwal Agama Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam diserahkan kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau sebelum ini merupakan Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam.
"Sayangnya dengan rombakan yang terbaru ini, maruah Pas sebagai sebuah parti Islam telah dipijak,” katanya hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Gombak Setia ini berkata, bagi beliau rombakan ini telah memberi satu tamparan hebat kepada imej dan kedudukan Pas dalam kerajaan PR Selangor.

"Rombakan tersebut menggambarkan yang Adun Pas yang ada dilihat tidak layak dan tidak berkemampuan untuk memikul portfolio penting yang telah saya pikul sebelum ini.

"Lebih menyedihkan apabila portfolio agama yang selama ini menjadi kebanggaan Pas sebagai sebuah parti Islam telah terlepas ke tangan parti komponen yang lain," katanya sambil menambah, "saya khuatir apabila memikirkan sebuah hadis Nabi yang menggambarkan saat kehancuran akan tiba apabila sesuatu jawatan diserah kepada bukan ahlinya akan menjadi kenyataan."

Hasan, bekas Pesuruhjaya Pas Selangor berkata, Presiden parti itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika penubuhan kerajaan negeri PR di Selangor pada Mac 2008 telah meminta beliau dan kepimpinan Pas Selangor pada waktu itu memastikan portfolio agama dipegang oleh parti itu dan mesti mempertahankannya.
 

0 comments:

Post a Comment