28 January 2012

Intai layak Piala FedEx

NOH Seung Yul bimbang untuk menetapkan sasaran tinggi menggunung namun bintang sedang meningkat Korea Selatan itu yakin anugerah Rookie Terbaik Tahunan mampu menjadi miliknya apabila melakukan kemunculan sulung pada Jelajah PGA Amerika Syarikat, musim ini.

Diperakui sebagai seorang daripada pemain yang mampu memukul bola dengan bagus di kalangan generasi muda sukan itu, pemain berusia 20 tahun itu mengintai satu lagi sasaran tambahan untuk layak ke kejohanan play-off Piala FedEx pada hujung musim ini.

“Setiap pemain rookie akan cuba muncul sebagai Rookie Terbaik Tahunan dan ia satu impian besar bagi saya tahun ini,” kata Seung Yul.

“Selepas itu, sasaran kedua saya adalah untuk layak ke penentuan play-off Piala FedEx dan saya harap dapat bermain pada peringkat ketiga,” katanya merujuk kepada empat kejohanan terakhir musim.

Seung Yul, pada usia 18 tahun muncul juara termuda dalam Jelajah Eropah apabila dia menundukkan rakan senegara K J Choi dengan satu pukulan untuk memenangi Terbuka Malaysia 2010, terus belajar daripada pemain terbilang itu.

“Sebelum setiap kejohanan, saya berlatih sepusingan dengan K J atau Y E (Yang Yong Eun),” katanya.
“Pemain Korea bekerja keras dan gigih berlatih dan setiap orang mengajar serta menyokong antara satu sama lain untuk menjadi lebih baik dan lebih bagus.

“Kami memiliki kerjasama sepasukan yang baik dan saya menerima banyak nasihat.” Seung Yul, yang memuncak dalam Jelajah Asia ketika berusia 16 tahun pada 2008 apabila dia melakar kejuaraan sulung di China pada musim sulungnya sebelum dinamakan sebagai Rookie Terbaik Tahunan, tidak pernah berasa beban dengan harapan yang diletakkan di bahunya.

“Malah selepas saya menang Terbuka Malaysia, saya tidak pernah berasa tekanan tambahan selepas itu kerana saya masih terlalu muda,” katanya.

“Setiap kali saya bermain, saya menyasarkan untuk meningkat dan meningkat dan terus meningkat, tapi tidak terlalu tinggi. Tempat saya (status golf) adalah rendah ketika ini berbanding K J, dengan lapan kejuaraan Jelajah PGA dan Y E, dengan satu kejuaraan utama. Jadi saya berasa tidak tertekan.” Seung Yul, yang mendapat sentuhan pakar hayunan, Butch Harmon berkata, kemenangan hebat Yong Eun pada Kejohanan PGA 2009 di Hazeltine National menjadi sumber utama motivasi buatnya.

Yong Eun muncul pemenang kejuaraan utama pertama pemain lelaki Asia selepas mengatasi Tiger Woods dengan bergaya menerusi perbezaan tiga pukulan.

“Jadi saya fikir, saya boleh melakukannya jika Y E sudah memenangi kejuaraan utama,” katanya.

“Dan saya juga masih terlalu muda, baru berusia 20 tahun, lebih muda daripada Y E dan K J jadi saya mempunyai lebih banyak peluang berbanding mereka pada masa depan. Saya meraih banyak keyakinan apabila Y E memenangi kejuaraan utama itu.” Menduduki ranking ke-116 di dunia, Seung Yul akan melakukan penampilan ketiga berturut-turut pada Jelajah PGA 2012 minggu ini.

Dia berakhir di tangga ke-66 pada Terbuka Sony di Hawaii dan kemudian gagal melepasi had kelayakan pada kejohanan Cabaran Humana minggu lalu sekalipun bermula dengan 65.

0 comments:

Post a Comment