29 January 2012

Indonesia kena bala lagi - dilanda ribut, 14 maut


Anggota polis dan pasukan menyelamat mengangkat pokok yang tumbang ke atas beberapa kenderaan di Jalan Dharmawangsa IV, Jakarta ekoran ribut dan hujan lebat minggu lalu. - Agensi


JAKARTA 29 Jan. - Jumlah korban akibat ribut serta hujan lebat yang melanda Indonesia minggu lalu meningkat kepada 14 orang, lapor pihak berkuasa, hari ini.

Lebih 2,300 buah rumah di 35 daerah dan bandar termasuk pulau peranginan terkenal Bali musnah akibat ribut berserta hujan lebat yang berterusan selama empat hari.

"Jumlah korban meningkat kepada 14 orang, manakala 60 cedera.

"Kesemua mangsa maut akibat dihempap pokok-pokok tumbang," kata jurucakap Pengurusan Bencana Kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho.

Ribut itu dibawa oleh Siklon Tropika Iggy di Lautan Hindi, iaitu di selatan Bali dan berhampiran kepulauan Nusa Tenggara.

"Namun siklon itu semakin lemah dan bergerak meninggalkan Indonesia," jelas Sutopo.

Pada minggu lalu, akhbar Jakarta Globe melaporkan, sebuah feri membawa lebih 200 penumpang termasuk lima warga Australia yang menuju ke kepulauan Gili hampir karam selepas dipukul ombak besar setinggi tiga meter.

Tiada kematian dilaporkan dalam kejadian tersebut. - AFP

0 comments:

Post a Comment