15 January 2012

Hantar askar Arab ke Syria


WANITA-wanita mengadakan tunjuk perasaan menentang Presiden Bashar al-Assad di bandar Baba Amro dekat Homs dalam gambar yang diterima Sabtu lalu. - REUTERS


DAMSYIK 15 Jan. - Qatar menyokong penghantaran tentera Arab ke Syria untuk menghentikan kempen kekerasan yang dijalankan oleh rejim Presiden Bashar al-Assad ke atas penentang kerajaan sejak 10 bulan lalu.
Amir Qatar, Sheikh Hamad bin Khalifa al-Thani dalam wawancara yang disiarkan oleh stesen CBS hari ini berkata, beliau menyokong penghantaran tentera Arab ke Syria bagi 'menghentikan pembunuhan' yang telah meragut lebih 5,000 nyawa sejak Mac lalu.
Wawancara beliau dalam rancangan '60 Minutes' itu ialah seruan pertama yang dilaungkan oleh seorang pemimpin Arab agar tentera Arab ditempatkan di Syria, di mana rejim Assad meneruskan kempen kekerasannya.
"Bagi menghentikan pembunuhan dalam situasi sedemikian, sebilangan askar perlu dihantar bagi menghentikannya," jawab Sheik Hamad apabila ditanya sama ada beliau menyokong campur tangan Arab.
Kenyataan Amir itu dibuat ketika Liga Arab bersiap sedia untuk mengkaji semula misi pemantaunya di Syria pada minggu ini.
"Penilaian semula menyeluruh terhadap tugas misi pemerhati akan kami bincangkan dalam mesyuarat peringkat menteri yang akan diadakan di Kaherah pada Sabtu, 21 Januari ini," kata Setiausaha Agung Liga Arab, Nabil al-Arabi kepada AFP di Oman.
Katanya, sedikit sebanyak kemajuan sudah dicapai sehingga kini tetapi pertumpahan darah masih berlaku setiap hari di Syria dan Liga Arab mahu menghentikannya.
"Sekretariat Am Liga Arab mengkaji sama ada berfaedah atau tidak untuk misi itu meneruskan tugasnya memandangkan keganasan masih berterusan," kata Arab menurut agensi berita Mesir, MENA.
Wawancara dengan Sheikh Hamad diadakan di tengah-tengah kebimbangan makin mendalam misi Liga Arab untuk memantau keadaan di Syria menemui kegagalan.
Amir berpengaruh itu kini antara pemimpin yang paling lantang mengkritik Assad, walaupun negaranya yang kaya pernah menjalinkan hubungan baik dengan Damsyik. - AFP

0 comments:

Post a Comment