25 January 2012

Gerabak kereta api terbakar

gerabak-terbakar
KUALA KRAI - Perjalanan kira-kira 120 penumpang terlewat selama 20 minit apabila gerabak jana ­kuasa tren dinaiki mereka terbakar berhampiran Stesen Keretapi Kuala Krai, di sini, kelmarin.

Pengurus Kanan Unit Komunikasi Korporat Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB), Mohd Fazil Ismail berkata, kejadian jam 7.20 malam itu melibatkan Tren 86 dari Kuala Lipis, Pahang ke Tumpat, Kelantan yang mempunyai lima gerabak.

Katanya, kebakaran melibatkan gerabak menjana elektrik untuk tren itu disedari pemandu lokomotif yang segera memberhentikan tren sebelum menghubungi bomba.

“Bila menyedari berlaku kebakaran, pemandu segera memisahkan gerabak jana kuasa yang terletak di bahagian belakang bagi me­ngelakkan api merebak ke gerabak penumpang.

“Kira-kira 10 minit selepas bomba tiba iaitu pada jam 7.40 malam, tren terbabit meneruskan semula perjalanan ke Tumpat,” katanya.

Ditanya punca kejadian, Mohd Fazil berkata, Bahagian Depoh dan Keselamatan KTMB diarah melakukan siasatan sama ada kebakaran berpunca daripada litar pintas, kecuaian manusia atau kesilapan teknikal.

“Bagi pihak KTMB, saya memohon maaf kepada penumpang terbabit atas sedikit kelewatan perjalanan dialami mereka berikutan kejadian,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba, Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Che Nasir Che Seman berkata, pihak­nya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.25 malam dan menghantar sebuah jentera bersama tiga ang­gota ke tempat kejadian.

Katanya, anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian pada jam 7.30 malam berdepan sedikit kesukaran apabila terpaksa meletakkan jentera kira-kira 150 meter dari gerabak terbakar.

“Kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada jam 7.38 malam sebelum operasi ditamatkan pada jam 8.27 malam,” katanya yang menge­tuai operasi tersebut.

0 comments:

Post a Comment