14 January 2012

Gagal bolos 190kg otak lembu

3 warga Sudan ditahan pegawai Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah

KAHERAH: Pegawai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah merampas 190 kilogram otak lembu beku kelmarin daripada tiga pelancong Sudan yang merancang menjualnya kepada restoran di Mesir, kata pihak berkuasa.

Pegawai memberitahu, ia adalah kali keempat minggu ini pegawai kastam gagalkan cubaan menyeludup otak lembu ke negara itu.
Sekali gus, ia menunjukkan adanya cubaan untuk mengeksploitasi skim mendapatkan wang dengan cara mudah berdasarkan prinsip bekalan dan permintaan antarabangsa. Selain itu, kejadian berkenaan mengesahkan bahawa otak lembu murah di Sudan dan rakyat Mesir suka memakan organ itu.

Nilai satu pound (0.453 gram) otak lembu mentah yang dibeli di Sudan pada harga tidak sampai satu dolar (RM3.1) boleh dijual di Mesir pada harga enam kali ganda lebih tinggi, kata pegawai.

Ia bermakna rampasan kelmarin itu membolehkan tiga lelaki berkenaan mendapat keuntungan lebih AS$1,500 (RM4,699).

Restoran yang menghidangkan hati dan otak haiwan popular di Mesir. Ia selalunya digoreng dan dimakan dengan roti pita dan sos merah pedas.
Pegawai lapangan terbang menemui otak itu kelmarin ketika memeriksa kotak pembeku besar yang dibawa masuk oleh pelancong berkenaan dalam penerbangan dari Khartoum.

Selepas memeriksa kotak itu, pegawai merampas otak kerana tidak dapat memastikan ia diawet dengan bersih. Otak itu akan dibakar, kata pegawai yang enggan dikenali.

Otak lembu turut popular dalam masakan di Perancis, Itali, El Salvador, Mexico, Portugal, Indonesia dan Amerika, dikenali sebagai ‘sesos’ dalam bahasa Sepanyol serta dimakan dalam hidangan ‘tacos’ dan ‘quesadillas’.

Apapun, amalan memakan otak lembu ketika ini amat berkurangan kerana kebimbangan jangkitan ‘Bovine spongiform encephalopathy’ atau turut dipanggil penyakit lembu gila (BSE). Penyakit itu, biasanya disebabkan orang ramai memakan organ haiwan yang ada penyakit. – AP/Agensi

0 comments:

Post a Comment