remaja gaduh
MASJID TANAH - Hanya kerana hutang sebanyak RM10, sekumpulan remaja mengamuk dan bertindak menyerang enam rakan yang sedang bersantai di rumah mereka di Kampung Seri Tanjung, di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 1.40 pagi itu, kumpulan remaja berusia antara 17 dan 25 tahun itu datang dengan menaiki beberapa motosikal serta sebuah kereta jenis Perodua Kenari dikatakan tidak berpuas hati dengan seorang daripada enam sahabat berkenaan yang berhutang RM10.

Salah seorang mangsa, Mohd Ridzuan Md Isa, 25, berkata, kumpulan terbabit membawa senjata tajam menyebabkan enam rakan berkenaan yang berada di luar lari masuk ke dalam rumah.

“Ketika kami cuba menutup pintu pagar, mereka terus menggegar pintu pagar dengan kuat sambil melibas senjata tajam di tangan mereka sehingga terkena pada salah seorang rakan kami.

“Selepas beberapa minit keadaan reda, kami berenam memberanikan diri membuka pintu pagar dan keluar meninjau keadaan sekeliling. Tiba-tiba, sebuah Perodua Kenari dinaiki tiga lelaki meluru laju di hadapan kami.

“Tidak lama selepas itu, kereta itu berpatah balik dan memecut laju untuk merempuh kami yang berdiri di luar pagar, bagaimanapun kami sempat mengelak menyebabkan kereta itu melanggar tembok dan terbalik,” katanya.

Akibat kejadian itu, katanya, mereka kemudian segera menghubungi polis yang tiba sejurus selepas itu.

Menurutnya, rakan mereka yang cuba menghalang pintu pagar dikejar ke Hospital Alor Gajah, di sini akibat cedera di kaki dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, empat remaja berusia antara 18 dan 22 ditahan, semalam dan direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati ianya berpunca akibat salah faham dua kumpulan remaja yang tidak puas hati berkenaan tuntutan hutang RM10 sehingga berlaku perbalahan. Bagaimanapun, siasatan lanjut akan dilakukan.

Beliau berkata, beberapa tangkapan lagi akan dibuat dalam masa terdekat bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan (Rusuhan Bersenjata).