17 January 2012

Facebook sukar sekat kandungan kesat

NEW DELHI 17 Jan. - Gergasi Internet, Google dan Facebook memberitahu mahkamah India, semalam adalah sesuatu yang mustahil bagi kedua-dua syarikat itu menyekat kandungan kesat di dalam laman web mereka.

Google dan Facebook merupakan antara 21 syarikat yang diminta untuk membangunkan mekanisme bagi menyekat bahan-bahan yang boleh menimbulkan kemarahan atau menghina di laman web mereka.

Tindakan itu diambil selepas satu petisyen persendirian mengheret syarikat-syarikat Internet itu ke muka pengadilan ekoran beberapa gambar yang menghina agama Hindu, Islam dan Kristian.

Syarikat Internet itu, bagaimanapun mempertikaikan undang-undang yang diluluskan pada tahun lalu itu, di mana mereka perlu bertanggungjawab ke atas kandungan kesat yang disiarkan dan mengeluarkannya daripada laman web dalam tempoh 36 jam jika terdapat aduan.

Kes tersebut pada asalnya difailkan di mahkamah rendah tetapi syarikat-syarikat terbabit membuat rayuan di Mahkamah Tinggi New Delhi untuk mencabar perintah mahkamah rendah yang meminta mereka mengeluarkan beberapa kandungan di dalam laman web mereka.

"Enjin pencarian hanya membawa anda kepada sesuatu laman web dan selepas itu adalah di luar kawalan enjin pencarian.

"Sekatan sukar dibuat, sebagai contohnya perkataan 'sex' turut terdapat di dalam dokumen kerajaan seperti senarai ID pengundi atau di dalam pasport," kata peguam kepada Google India, Neeraj Kishan Kaul kepada Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Peguam kepada Facebook, Siddharth Luthra pula memberitahu mahkamah, seseorang itu boleh disingkirkan daripada laman web mereka kerana menghina atau sebagainya, tetapi pengguna yang sepatutnya bertanggungjawab atas apa yang mereka lakukan.

Hakim Suresh Kait mengarahkan pendengaran kes itu disambung pada Khamis ini.

Kait pada minggu lalu yang dipetik oleh media tempatan memberi amaran kawalan ketat ke atas laman web seperti yang dilakukan oleh China akan dikuatkuasakan jika syarikat-syarikat Internet itu tidak mewujudkan mekanisme menyekat bahan-bahan tidak bertanggungjawab. - REUTERS

0 comments:

Post a Comment