27 January 2012

eBay lelong kasut Gillard

AKTIVIS menunjukkan kasut Gillard yang tertinggal selepas diserbu penduduk pribumi
AKTIVIS menunjukkan kasut Gillard yang tertinggal selepas diserbu penduduk pribumi
Lelongan kemudian ditarik balik kerana langgar syarat jual beli online

SYDNEY: Sebelah kasut Perdana Menteri Australia Julia Gillard yang hilang ketika beliau dibawa ke kereta oleh pengawal peribadi mendapat tawaran sebanyak Aus$2,000 (RM6,466) dalam lelongan sebelum ia ditarik daripada laman web lelongan, eBay, semalam.
Kasut berwarna biru itu dilaporkan sudah dipulangkan kepada pemimpin Australia itu selepas tertanggal daripada kakinya kelmarin di Canberra ketika beliau lari daripada penunjuk perasaan hak asasi pribumi negara itu.
Selepas kejadian itu berlaku, seorang aktivis mengambil kasut itu dan berkata tidak akan memulangkannya.

“Beliau tidak boleh mendapatkannya kembali, ia akan dilelong dalam eBay,” katanya memberitahu wartawan. Laman web itu menyenaraikan kasut yang hilang dengan memulakan lelongan pada harga Aus$148 (RM478).

“Anda melelong kasut terpakai. Tolong ingat, ini juga sebelah kasut bukannya sepasang, jadi sukar untuk menggunakannya melainkan anda perdana menteri,” kata aktivis itu yang dipetik Sydney Morning Herald.

Tetapi, iklan kasut itu hanya berada dalam lelongan online selama 25 minit sebelum eBay menarik balik tawaran berkenaan kerana bimbang ia adalah penipuan.
Mengikut syarat eBay, pihak yang menjual hanya boleh menyenaraikan barang milik mereka atau pemilik sudah memberikan kebenaran untuk menjualnya.

“Kami tahu pemiliknya adalah perdana menteri. Penjual tidak membuat tawaran sebelum memperoleh kebenaran, jadi kami gugurkan iklan itu,” kata jurucakap eBay memberitahu akhbar.

Sementara itu, wakil penduduk pribumi Australia menyerahkan kasut Gillard kepada pengawal keselamatan di luar Parlimen negara itu. Kasut itu dipercayai dihantar dengan kereta.

Gillard dan pemimpin pembangkang, Tony Abbott dibaik keluar anggota keselamatan dari sebuah restoran di Canberra selepas tempat itu dikepung aktivis pribumi.

Ulasan Abbott bahawa khemah sebagai kedutaan penduduk pribumi di luar Parlimen sejak 40 tahun lalu sebagai tidak perlu lagi wujud, mencetuskan reaksi marah aktivis pribumi. – AFP/Agensi

0 comments:

Post a Comment