29 January 2012

Duta Mesir Kata krisis Syria boleh gugat kestabilan serantau

KRISIS politik di Syria yang telah berlarutan selama 10 bulan, kini semakin meruncing. Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekurang-kurngnya 5,400 orang telah terbunuh sejak Presiden Bashar al-Assad melancarkan tindakan kekerasan ke atas penunjuk perasaan pada Mac lalu.

Mesir yang baru sahaja menyambut ulang tahun pertama revolusi di negara itu yang berjaya menggulingkan Presiden Hosni Mubarak, memandang serius apa yang berlaku di Syria kerana ia boleh menjejaskan kestabilan di rantau itu.

Krisis politik di Syria kini semakin meruncing. Sebagai negara jiran dan juga anggota Liga Arab, apakah pendirian Mesir mengenai isu ini?

SAAD: Sebagai sebuah negara jiran, kami mengikuti secara dekat apa yang berlaku di Syria. Sejak mula lagi kami telah menyuarakan pendirian kami berulang kali menggesa kerajaan Syria mengambil langkah secara aman bagi menagani krisis yang sedang berlaku. 

Kekerasan tidak akan membawa kestabilan di sesebuah negara dan ia hanya boleh dicapai dengan mewujudkan kedamaian melalui dialog, memenuhi tuntutan rakyat dan bukan melalui keganasan. 

Kekerasan hanya akan membawa pertumpahan darah yang akhirnya menimbulkan bencana bukan sahaja di Syria tetapi juga di rantau itu.

Bagaimana pula dengan peranan Liga Arab dalam menangani krisis ini?

Liga Arab yang beribu pejabat di Kaherah, Mesir telah mengambil langkah berpatutan untuk membawa kestabilan di Syria. Satu daripada langkah itu ialah dengan menghantar pasukan pemantau untuk mengetahui situasi terkini di negara itu dan memastikan Syria mematuhi pelan damai yang telah dipersetujui sebelum ini. 

Kami amat berharap krisis ini dapat diselesaikan secara aman kerana ini adalah jalan terakhir untuk mengelak campur tangan asing. Kita telah melihat sebelum ini bagaimana kedegilan Libya telah mengundang campur tangan asing, sekali gus menyebabkan banyak rakyat negara itu terbunuh dan berlaku kemusnahan.

Namun, penyelesaian masih belum menampakkan kejayaannya di Syria, apa komen tuan?

Proses untuk mengembalikan kestabilan di Syria bukan mudah, tetapi kami tidak akan berputus asa demi kepentingan semua pihak, terutamanya penduduk awam di negara itu. 

Pasukan pemantau akan terus menghantar laporan kepada Majlis Liga Arab untuk menilai langkah seterusnya. Rundingan dengan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam menangani krisis itu turut dijalankan. Syria adalah negara Arab yang penting kepada Mesir dan di rantau itu. Mengekalkan kestabilan di Syria bagi Mesir adalah kepentingan antarabangsa.

Bagaimana pula pandangan tuan mengenai isu program nuklear Iran yang penuh kontroversi?
Isu program nuklear Iran adalah satu isu yang sangat rumit. Namun, Mesir mengambil pendirian bahawa Asia Barat harus bebas daripada senjata nuklear yang bakal mencetuskan kemusnahan besar. 

Kami mahu isu itu diselesaikan secara aman tanpa sebarang pertempuran, sesuatu yang tidak diingini, bukan sahaja oleh Mesir tetapi juga oleh seluruh dunia. Pertempuran hanya akan mendatangkan lebih banyak kemusnahan dan ketidakstabilan di rantau itu. 

Dalam menyelsaikan isu ini, Iran perlu bekerjasama dan membuktikan kepada dunia bahawa negara itu tidak membangunkan senjata nuklear dan dunia pula perlu memberi peluang kepada Teheran untuk membuktikan bahawa program nuklearnya adalah untuk tujuan keamanan.

Amerika Syarikat (AS) dan Barat kuat mengecam program nuklear Iran, mungkinkah terdapat agendal lain?
Sebenarnya bukan AS dan Barat sahaja yang bimbang dengan program nuklear Iran, tetapi juga seluruh negara di rantau Arab dan di dunia. 

Ini kerana program nuklear Iran boleh menyebabkan kemusnahan bukan sahaja di negara itu tetapi di rantau tersebut. Kebocoran nuklear contohnya akan menjejaskan seluruh Teluk Arab. Mungkin AS dan Barat dilihat berada di barisan hadapan dalam mengecam program nuklear Iran, tetapi ini tidak bermakna hanya mereka yang bimbang. 

Sama seperti program nuklear Korea Utara, ia turut menjadi kebimbangan di negara-negara di rantau itu. Ia menjadi komitmen setiap masyarakat antarabangsa dan pada masa yang sama hak setiap negara untuk membangunkan kemudahan nuklear untuk tujuan keamanan, tetapi jika ia dibangunkan melebihi daripada tujuan itu ia akan membawa bahaya dan mengugat kestabilan dunia.

0 comments:

Post a Comment