16 January 2012

Dua wanita ditahan bagi membantu siasatan kes simbah asid

KOTA BAHARU: Polis Kelantan menahan dua wanita dipercayai boleh membantu polis dalam siasatan kes seorang duda disimbah asid di Kampung Tendong, Pasir Mas pada Sabtu lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, ACP Lai Yong Heng berkata kedua-dua wanita itu dipercayai bekas isteri duda terbabit ditahan di dua tempat berasingan di Tumpat di sini, semalam.

"Kedua-dua wanita itu ditahan reman hari ini untuk membantu siasatan kes tersebut, dan dengan penahanan kedua-dua wanita itu, pihak polis percaya dapat menyelesaikan kes tersebut," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan serah terima tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Kontinjen Kelantan (IPK) di sini, hari ini.

Lai berkata dalam kejadian Sabtu lepas, mangsa Wan Hussin Wan Yusoff, 52, cedera parah di muka akibat disimbah sejenis cecair dipercayai asid, dan kini dirawat di wad rawatan rapi Hospital Raja Perempuan Zainab II dalam keadaan kritikal, tetapi stabil. - Bernama

0 comments:

Post a Comment