18 January 2012

Datuk akur 4 tuduhan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, semalam menjatuhkan hukuman denda RM110,000 terhadap ahli lembaga pengarah koperasi yang juga seorang Datuk atas tuduhan menjalankan koperasi tanpa lesen dan perniagaan bercirikan skim cepat kaya, empat tahun lalu.
Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Datuk Nabil Abdul Kadir, 49, yang mengaku bersalah atas empat pertuduhan dihadapinya.

Selain Nabil, seorang lagi ahli lembaga pengarah koperasi, Saiful Bakhri Abdullah, 30, turut mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan dan dikenakan denda RM50,000.
Berdasarkan pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa menerima pinjaman RM500,000 bagi tujuan pembayaran modal kerja permulaan koperasi sedangkan syarikat itu masih belum didaftarkan secara sah antara 5 April 2008 dan 4 Mei 2008.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 10A (1) Akta Koperasi 1993 (Akta 502) dan boleh dihukum mengikut seksyen 10A (2) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Nabil dan Saiful didakwa menjalankan kutipan pelaburan dengan menjanjikan dividen 16 peratus setahun dengan nama Units@Neocyber dan sebanyak 15 peratus dengan nama ‘Gold Members’, walaupun koperasi itu belum mempunyai aktiviti yang mampu menjana pendapatan manakala akaunnya belum diaudit dari Mac 2008 hingga Mac 2009.
Oleh itu, mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 45 (1) Akta Koperasi 1993 (Akta 502) dan boleh dihukum mengikut seksyen 45 (4) akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM200,000 jika sabit kesalahan.

Nabil turut didakwa bagi pertuduhan keempat atas perbuatan tidak mengisytiharkan kepentingan wujud yang bercanggah dengan kepentingan anggota koperasi dalam mesyuarat yang diadakan pada 14 Jun 2008 dengan melantik Syarikat CFIS Sdn Bhd sebagai ‘Fund Rising’ bagi pelaburan dan menerima pelaburan bayaran caj perkhidmatan berjumlah RM83,253, sedangkan dia memegang jawatan dalam syarikat itu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 44B(1) Akta Koperasi 1993 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 44B(2) akta sama yang boleh didenda RM500,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Semua perbuatan itu dilakukan di tingkat bawah, 1 dan 2, Blok A, Setiawangsa Business Suites, Jalan Setiawangsa 11, Taman Setiawangsa, di sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hanim Abdul Rahman dan Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Kamarulzaman Mohamad Buhari.

0 comments:

Post a Comment