25 January 2012

Dakwat kekal patuhi syarak

PUTRAJAYA - Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan dakwat kekal yang akan digunakan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) mematuhi hukum syarak selain berkesan bagi mengelak pengundian berganda.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha berkata, keputusan penggunaan dakwat kekal yang mengandungi ‘silver nitrate’ itu sejajar tuntutan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi menambah baik proses pilihan raya sedia ada.
 
Menurutnya, tiga aspek utama dakwat kekal ini adalah tidak mengandungi lemak haiwan, tidak memudaratkan pengguna contohnya menggelupas sekiranya terkena kulit dan tidak menghalang air sampai ke kulit apabila ia digunakan.
 
“Setakat ini hal berkenaan status halal sudah selesai daripada pihak Jakim. Saya tidak dapat memaklumkan spesifikasi nama dan jenisnya kerana ia masih dirahsiakan sehingga pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat kenyataan rasmi,” katanya pada temu bual eksklusif bersama Sinar Harian semalam.
 
Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 11 Januari 2012 telah membincangkan mengenai Hukum Penggunaan Dakwat Kekal.
 
Berdasarkan pembentangan laporan analisis kimia, taklimat dan penjelasan daripada Jabatan Kimia Malaysia serta penjelasan daripada SPR, muzakarah ini mendapati dakwat kekal tidak mengandungi bahan-bahan najis yang diharamkan oleh syarak, tidak memberikan kesan mudarat dan tidak menghalang air untuk sampai ke kulit apabila digunakan.

0 comments:

Post a Comment