17 January 2012

Curi kereta: Empat ahli Geng Botak dicekup


DIN Ahmad (kanan) menunjukkan batang besi yang berjaya dirampas dalam kes curi kereta oleh Geng Botak di IPD Batu Pahat, Johor, semalam.



BATU PAHAT 17 Jan. - Polis berjaya menyelesaikan empat kes curi kereta dan penggunaan plat palsu di daerah ini dan Kulaijaya dengan tertangkapnya empat ahli Geng Botak.

Kesemua mereka berusia antara 32 hingga 43 tahun dan dua daripadanya didapati positif dadah.
Ketua Polis Daerah, Assisten Komisioner Din Ahmad berkata, geng terbabit bergerak aktif di sekitar Batu Pahat dan Kulaijaya.

Menurutnya, suspek pertama ditangkap di Kluang pada 10 Januari lalu dan polis berjaya menemui sebuah Proton Waja yang dilaporkan hilang di Summit, Batu Pahat tetapi platnya telah dipalsukan.

"Polis menemui 100 batang besi yang dipercayai untuk membuat plat palsu berkenaan.

"Pada pukul 4 pagi hari yang sama, polis turut berjaya menahan dua lagi suspek di Kulaijaya dan merampas sebuah Proton Wira yang dilaporkan hilang di Air Hitam.

"Pada 6 pagi hari berkenaan juga, seorang lagi suspek berjaya ditangkap dan polis menjumpai sebuah kereta Proton Wira dan sebuah 

Proton Waja yang kedua-duanya telah ditukar dengan plat palsu," katanya di sini hari ini.

Din percaya penangkapan empat lelaki terbabit berjaya menyelesaikan empat kes kecurian kereta di Batu Pahat, Kulaijaya dan Air Hitam.

Kesemua mereka akan didakwa di bawah Seksyen 379 (A).

0 comments:

Post a Comment