14 January 2012

CIA, Mossad bunuh saintis Iran

RAKYAT Iran beramai-ramai mengiringi keranda saintis nuklear negara itu, Mostafa Ahmadi Roshan untuk dikebumikan di Tehran apabila maut selepas ejen CIA, Mossad dipercayai memasang bom pada keretanya.
RAKYAT Iran beramai-ramai mengiringi keranda saintis nuklear negara itu, Mostafa Ahmadi Roshan untuk dikebumikan di Tehran apabila maut selepas ejen CIA, Mossad dipercayai memasang bom pada keretanya.
TEHRAN: Pemimpin agung Iran menuduh perkhidmatan perisikan Amerika Syarikat dan Israel menjadi dalang pembunuhan ‘keji’ saintis nuklearnya di sini minggu ini, yang dikebumikan semalam.

“Pembunuhan pengecut Rabu lalu ke atas timbalan pengarah loji utama pengayaan uranium Iran, Mostafa Ahmadi Roshan, 32, dilakukan ‘melalui perancangan atau sokongan Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan Mossad,” kata Ayatollah Ali Khamenei.
Dalam satu mesej takziah di laman webnya, Khamenei berkata, program nuklear Iran ‘tidak bergantung kepada seorang individu’ dan ‘kami akan terus dengan kesungguhan dan tenaga dalam laluan ini.’
Khamenei mengutuk Amerika dan Israel ketika media konservatif Iran menggesa negara itu ‘membalas dendam’ ke atas pegawai tentera dan politik Israel.

Pada masa sama, pegawai kanan lain memperbaharui satu tawaran rundingan nuklear dengan kuasa dunia yang gagal setahun lalu untuk diteruskan.

Ketika melawat Turki, kelmarin, speaker berpengaruh Parlimen Iran, Ali Larijani berkata, negaranya sedia untuk berunding dengan lima anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Jerman dalam isu nuklear.

“Rundingan itu boleh membuahkan hasil jika mereka serius dan tidak melayannya seperti satu permainan,” katanya menurut agensi berita rasmi IRNA.
Iran beberapa kali berkata ia bersedia meneruskan rundingan terbabit, yang gagal setahun lalu.

Namun, pejabat ketua dasar luar Kesatuan Eropah (EU) Catherine Ashton, yang mewakili kuasa dunia, berkata ia masih menunggu Tehran memberi maklum balas sepucuk surat dihantar Oktober lalu menawarkan untuk rundingan disambung.

Iran terjejas akibat sekatan PBB dan Barat berhubung program nuklearnya, selain apa yang jelas satu kempen terselindung sabotaj dan pembunuhan, dengan sekurang-kurangnya tiga saintis nuklearnya terbunuh sejak dua tahun lalu.

Iran menegaskan program nuklearnya adalah secara eksklusif untuk tujuan keamanan.

Tetapi, negara Barat percaya Tehran cuba membangunkan senjata nuklear, kecurigaan yang menebal walaupun tidak disokong oleh laporan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa, November lalu. – AFP

0 comments:

Post a Comment