14 January 2012

Chong Wei lunas dendam


Lee Chong Wei membalas pukulan Chen Long pada perlawanan separuh akhir Terbuka Malaysia di Stadium Putra Bukit Jalil, semalam. - MINGGUAN/Abd. Rahman Saleh

KUALA LUMPUR - Selepas membalas dendam ke atas seteru utama, Lin Dan pada Terbuka Korea minggu lalu, Datuk Lee Chong Wei melengkapkan kebangkitannya pada 2012 dengan melunaskan pula dendam ke atas Chen Long semalam untuk melangkah ke final Terbuka Malaysia hari ini. Chong Wei, yang kalah dalam pertemuan terakhir dengan jaguh muda China itu pada Siri Super Masters Akhir, bulan lalu bagaimanapun tidak diberi laluan mudah untuk melepasi halangan, sebaliknya diheret dalam pertarungan satu jam, 15 minit sebelum menang 21-18, 17-21, 21-13.
Biarpun 9,000 penyokong di Stadium Putra, Bukit Jalil kecewa dengan penarikan diri juara dunia 2010, Chen Jin yang cedera buku lali kanan ketika berdepan bintang Jepun, Kenichi Tago dalam satu lagi separuh akhir, namun kejayaan Chong Wei ke perlawanan akhir buat kali kelapan lebih daripada cukup menggembirakan mereka.
Malah, kemenangan ini meletakkan juara All England itu selangkah lagi untuk menyamai rekod kejohanan yang dipegang legenda badminton negara, Wong Peng Soon yang menjadi juara terbanyak Terbuka Malaysia sebanyak lapan kali pada 1953, 1952, 1951, 1950, 1949, 1947, 1941 dan 1940.
Chong Wei, 29, sudah meraih tujuh kejuaraan pada 2011, 2010, 2009, 2008, 2006, 2005 dan 2004, selain muncul naib juara 2003 selepas kalah kepada bintang China, Chen Hong dalam perlawanan akhir.
Hari ini, dia memegang kelebihan psikologi yang amat besar ke atas Tago kerana telah menumpaskan naib juara All England 2010 itu dalam semua 10 pertemuan mereka sebelum ini, malah menang dalam pertemuan terakhir di Terbuka Korea, minggu lalu.
"Chong Wei sentiasa memiliki kelebihan ke atas saya, apatah lagi kali ini kami bertemu di depan penyokongnya. Saya kecewa kerana Chen Jin tidak turun beraksi hari ini, saya sangat bersedia untuk bertemu dengannya, mungkin tenaga yang tidak digunakan itu akan bantu saya menghadapi Chong Wei esok," kata Tago.
Chong Wei, yang kalah tiga kali kepada Chen Long tahun lalu mungkin tidak bermain seagresif kebiasaan, malah seketika dilihat memperlahankan permainan dan tidak berani melakukan terlalu banyak smash, namun bagi mengimbangi tenaga muda Chen Long, ia dilihat taktik yang bijak.
Malah, fokus juga menjadi aspek yang harus diberi tumpuan pemain No. 1 dunia itu menjelang Sukan Olimpik 2012, enam bulan dari sekarang kerana semalam, dia dilihat mampu mengatasi Chen Long hingga 14-7 dan 16-14 di set pertama tetapi agak terleka hingga membenarkan lawan mengejar 18-18, sebelum mengakhiri saingan 21-18 dalam masa 23 minit.
Set kedua pula menyaksikan Chen Long lebih agresif dan Chong Wei pula melakukan banyak kesilapan di jaring, selain kerap memberi bola tinggi yang membolehkan pemain China itu melakukan smash. Dia akhirnya tewas 19-21.
Set ketiga juga agak mendebarkan di awal saingan, Chong Wei yang pada mulanya tampak memperlahankan permainan ketinggalan 3-7, 4-8 sebelum mengejar 8-8 dan meninggalkan lawan 11-8, 17-12 dan akhirnya 21-13.
"Pada kedudukan 4-8 di set ketiga, saya cuba melupakan semua tekanan dan melakukan serangan demi serangan, ia nyata menjadi. Selepas berjaya mengejar, saya mendapat semula keyakinan, malah sokongan padu penonton benar-benar membantu. Selagi bulu tangkis tidak jatuh ke lantai, selagi itu saya cuba mengangkat.
"Mengenai pertemuan dengan Tago esok, sudah tentu dia lebih cergas kerana Chen Jin tiba-tiba menarik diri, sedangkan saya terpaksa bertarung lebih satu jam. Apa pun, saya tidak mahu fikir perlawanan itu sekarang, saya mahu menikmati kemenangan ini dan turun dengan aksi terbaik kemudian," kata Chong wei.
Sementara itu hasrat pasangan muda negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying untuk melakar kejutan terbesar dalam beregu campuran berakhir dengan kekalahan mudah 13-21, 16-21 di tangan juara dunia dan pilihan pertama, Zhang Nan-Zhao Yunlei dari China.
Pertarungan akhir beregu lelaki pula menemukan dua pasangan yang tidak diduga dan kedua-duanya beregu bukan pilihan, Fang Chieh Min-Lee Sheng Mu dari Taiwan serta Cho Gun Woo-Shin Baek Choel dari Korea.
Chieh Min-Sheng Mu yang mengejutkan beregu negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada Terbuka Korea minggu lalu mara selepas menumpaskan Hirokatsu Hashimoto-Noriyasu Hirata dari Jepun 21-19, 18-21, 21-12, manakala Gun Woo-Baek Choel menyingkirka pilihan ketiga dari China, Chai Biao-Guo Zhendong 26-24, 23-21.

0 comments:

Post a Comment