26 January 2012

Buli junior Punya pasal tiga pelajar senior didenda RM100


DUA daripada tiga pelajar senior yang didenda RM100 menutup muka masing-masing ketika keluar dari Mahkamah Majistret Melaka semalam.


MELAKA - Tiga pelajar senior sebuah institut kemahiran di sini masing-masing didenda sebanyak RM100 oleh Mahkamah Majistret di sini kerana memukul seorang pelajar junior yang enggan mematuhi arahan mereka supaya menyanyikan lagu Negaraku.

Majistret Muhamad Hazri Hanafi menjatuhkan hukuman itu terhadap tiga pelajar terbabit iaitu Taqiyuddin Hashim, 22, Haziq Zainal, 21, dan Rushtam Zakaria, 22, selepas ketiga-tiga mereka mengaku salah atas pertuduhan yang disabitkan.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Faiz Safwan Zainudin, 21, dengan cara menampar muka dan menendang pada paha sebelah kiri.

Perbuatan itu dilakukan ketiga-tiga tertuduh di bilik asrama No. A-32 Institut Latihan Perindustrian Selandar, Jasin pada pukul 12.30 pagi, 3 November 2009.

Bagi kes itu, ketiga-tiga tertuduh disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau sebat.

Terdahulu, semasa prosiding berlangsung, Muhamad Hazri bertanyakan punca ketiga-tiga tertuduh memukul mangsa iaitu Faiz Safwan.

Salah seorang tertuduh kemudian memberitahu, mereka memukul mangsa disebabkan mangsa enggan menyanyikan lagu Negaraku seperti yang disuruh.

0 comments:

Post a Comment