29 January 2012

Bot karam, dua nelayan maut dan tiga lagi masih hilang


CHIN Chin Kein (kiri), Amirul Anuar Fadzullah (tengah), dan Safuri Dahari dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah selepas 30 jam terapung di laut akibat bot karam dipukul ombak di perairan Pulau Payar, Pulau Langkawi di Alor Setar, semalam.



ALOR SETAR 29 Jan. - Fenomena angin kencang dan laut bergelora yang melanda perairan negara sejak beberapa hari lalu mengakibatkan empat kemalangan bot karam berlaku dan meragut nyawa dua nelayan.

Dua kematian membabitkan masing-masing nelayan tempatan dan seorang warga Indonesia berlaku di perairan Pulau Songsong, Kuala Kedah dan utara Pulau Tioman, Pahang semalam dan awal pagi ini.

Di KUALA KEDAH, seorang nelayan maut manakala 19 lagi terapung di laut selama setengah jam apabila bot pukat jerut mereka karam dipukul ombak besar berhampiran Pulau Songsong, kira-kira 20 batu nautika (37 kilometer) dari Kuala Kedah awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi, Ahmad Radzi Ghazali, 56, tidak sempat memakai jaket keselamatan lalu tenggelam bersama bot yang karam itu.

Tekong bot, Mohd. Ismail Hashim, 55, berkata, dia bersama 19 awak-awak keluar dari jeti Kuala Kedah untuk menangkap ikan sejak pukul 2 petang semalam.

"Ketika kejadian, kami sedang bersiap-sedia untuk pulang, tetapi bot kami bergerak lambat sebab tangkapan ikan banyak iaitu kira-kira tujuh tan.

"Tiba-tiba, ombak besar datang dan menghempas bot. Saya mengarahkan kesemua awak-awak duduk di depan bot dan memakai jaket keselamatan kerana bahaya jika mereka duduk di belakang bot," katanya selepas dikunjungi Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Johari Baharom di Restoran Oasis, Kuala Kedah di sini hari ini.

Menurutnya, mangsa berada di dalam kabin bot untuk mengambil dompetnya dan ketika itu satu ombak besar sekali lagi menghempas menyebabkan bot mereka terbalik dan karam.

Dia berkata, Ahmad Radzi tidak sempat keluar dari bot dan mayatnya ditemui terapung-apung tidak jauh dari kumpulan nelayan itu kira-kira 20 minit kemudian. Mereka kemudiannya diselamatkan oleh sebuah bot nelayan lain setelah 30 minit terapung di lautan.

Sementara itu, dalam satu lagi kejadian, tiga nelayan dari Kuala Kedah terapung hampir 30 jam di perairan Pulau Payar, Pulau Langkawi setelah bot mereka karam dipukul ombak.

Chin Chin Kein, 49; Safuri Dahari, 37, dan Amirul Anuar Fadzullah, 18, keluar untuk menangkap ikan dari jeti Kuala Kedah sejak Khamis lalu dan bot mereka karam kira-kira pukul 2 pagi sehari kemudian.

Kesemua ditemui kira-kira pukul 10.20 pagi semalam oleh nelayan tempatan dalam keadaan selamat dan kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah.

Di KUANTAN, seorang nelayan warga Indonesia maut, dua hilang manakala dua lagi terselamat selepas bot yang mereka naiki karam akibat terlanggar batu di perairan Pulai Tulai dekat Pulau Tioman, Rompin Jumaat lalu.

Mangsa yang dikenali sebagai La Mafi, 62, manakala dua lagi hilang dikenali La Lesi, 36, dan seorang lagi dikenali sebagai Syarifuddin, 32. Ketiga-tiga mereka berasal dari Buton, Indonesia.

Dua lagi mangsa iaitu tekong, dikenali sebagai Samsudin, 31, dari Buton, Indonesia dan Johari Jalil, 30, dari Kudat, Sabah berjaya diselamatkan.

Bot nelayan pukat tunda itu dikatakan keluar dari Jeti Endau, Johor untuk menangkap ikan sejak 22 Januari lalu.

Ketua Penguat Kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kuantan, Kapten Maritim Abdul Aziz Idrus berkata, bot nelayan dinaiki lima mangsa terbabit dipercayai mencari tempat berlindung daripada ribut.

"Bagaimanapun, enjin bot nelayan terbabit mati dan hanyut ke kiri akibat dilanda ombak dan angin kuat sebelum ia terlanggar batu di sekitar pulau tersebut," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar hari ini.

Sementara itu di SANDAKAN, usaha mencari dan menyelamat seorang nelayan yang dipercayai lemas di Pantai Dandulit, Kilometer 19.2 semalam, masih diteruskan hari ini oleh pasukan penyelamat.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Rowell Marong berkata, mangsa, Itang Culali, 68, dipercayai lemas selepas turun ke laut petang semalam.

Menurutnya, mangsa yang telah turun ke laut untuk menangkap ikan bersama isteri dan seorang anaknya sekitar pukul 7 pagi namun ahli keluarganya terselamat.

0 comments:

Post a Comment