25 January 2012

BN Pahang yakin rampas kerusi pembangkang

TEMERLOH - Barisan Nasional (BN) Pahang yakin mampu merampas semula semua kerusi yang ditawan pembangkang pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata berdasarkan angin perubahan politik semasa, BN yakin dapat merampas semula kerusi terbabit walaupun mengakui ia sedikit sukar.

"Kerusi Parlimen Kuantan sedikit sukar kerana isu Lynas tetapi Parlimen Indera Mahkota kita tidak ada masalah.

"Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semantan, Beserah juga tiada masalah, malah Triang dan Tras juga boleh kita rampas jika kita bekerja keras dan bersatu padu, kesemuanya boleh kita rampas kembali," katanya ketika berucap pada perjumpaan dengan 3,000 jentera pilihanraya Wanita BN di sini, semalam.

Adnan berkata Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri yang merupakan sayap kanan parti perlu sentiasa turun padang mendekati rakyat dan mendengar serta mencari jalan membantu menyelesaikan masalah mereka.

"Kesilapan masa lampau perlu dijadikan pengajaran dan kali ini kita perlu bekerja kuat untuk menang di mana segala kelemahan perlu diatasi.

"Kita jangan persoalkan siapa calon atau komponen parti, yang pentingnya kita perlu menang dan segala janji rakyat akan kita tunaikan," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan anggota parti supaya mengetepikan perkara remeh yang boleh menggugat keutuhan parti. - Bernama

0 comments:

Post a Comment