Belasah suspek sampai mati
IPOH – Dua lelaki yang berniat membantu polis menangkap seorang lelaki yang cuba menceroboh dan mencuri di sebuah rumah di Taman Mas, Khamis minggu lalu, kini ditahan polis setelah suspek berkenaan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, mangsa yang dikenali sebagai Mohd Fairus Razali, 31, mati setelah mengalami kecederaan serius di bahagian kepala selepas dipukul oleh orang awam semasa kejadian.

“Pada hari kejadian, pengadu melihat mangsa memegang sebilah pisau cuba memasuki rumahnya. Pengadu bersama beberapa orang kampung mengejarnya dan berjaya menangkap mangsa sebelum diserah­kan kepada polis.

“Semasa terima tangkapan, mangsa dalam keadaan cedera di bahagian kepala akibat dipukul beramai-ramai.

“Mangsa dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Namun, mangsa meninggal dunia kelmarin (Isnin),” katanya pada media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri di sini, semalam.

Menurutnya, polis merampas sebuah motosikal Modenas Kriss dan sebilah pisau dalam motosikal itu dipercayai milik mangsa.

Mohd Shukri berkata, dua suspek berusia 29 tahun dan 30 tahun itu direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Akibat mengambil tindakan sendiri, siasatan daripada kes curi kini menjadi kes bunuh apabila mangsa meninggal setelah dipukul sebelum diserahkan kepada polis.

“Kedua-dua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau iaitu mencuri kenderaan dan melakukan kesalahan kecil. Salah seorang suspek sa­ngat dikehendaki polis bagi kes curi kenderaan di Bahau, Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata, polis dipercayai akan menahan antara tiga atau empat suspek yang disyaki terlibat menggunakan kekerasan terhadap mangsa.

“Orang awam dinasihatkan tidak menggunakan kekerasan ketika menangkap penjenayah yang berlaku di kawasan masing-masing berikutan bimbang menjadi kes lebih besar se­perti ini. Kes ini masih disiasat sebelum diambil tindakan undang-undang,” katanya.