26 January 2012

Bekas Supt polis dipenjara setahun kerana guna akuan, kenyataan palsu

JOHOR BAHARU - Bekas superintendan polis dijatuhi hukuman penjara setahun selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan menggunakan suatu akuan palsu dan membuat kenyataan palsu di dalam surat akuan bersumpah, tujuh tahun lepas.

Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan tanpa keraguan munasabah kes tertuduh, Azmi Osman, 57.

Bagi tuduhan pertama, Azmi didakwa secara tidak jujur menggunakan sebagai benar suatu akuan iaitu surat akuan bersumpah D. Jethalal (nombor pasport Singapura S1468449B) bertarikh 12 Ogos 2005, yang diketahui adalah palsu, di Ibu Pejabat Badan Pencegah Rasuah, Blok D6, Putrajaya, antara 29 Sept dan 10 Okt 2005.

Dia dituduh mengikut Seksyen 200 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 193 kanun sama, yang jika sabit kesalahan membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda.

Bagi tuduhan kedua, Azmi didakwa membuat suatu pernyataan iaitu surat akuan bersumpah bertarikh 8 Okt 2005 berserta senarai harta alih dan harta tak alih bertarikh 29 Sept 2005, yang diketahui adalah palsu kepada pendakwa raya di nombor 9, Jalan Padi Ria 13, Bandar Baru Uda, di sini, antara 29 Sept dan 10 Okt 2005.
  
Dia didakwa mengikut Seksyen 19(1) Akta Pencegahan Rasuah 1997, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mohamad Haldar memerintahkan Azmi dijatuhi hukuman enam bulan penjara bagi pertuduhan pertama dan setahun penjara bagi pertuduhan kedua dengan hukuman bagi kedua-duanya berjalan serentak bermula hari ini.

Mahkamah, bagaimanapun, membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman itu selepas peguam Adam Yap dan C.N Sritharan, yang mewakili Azmi, memohon penangguhan pelaksanaan hukuman terbabit.

Mohd Haldar memerintahkan rayuan pelaksanaan penangguhan hukuman itu difailkan ke Mahkamah Tinggi, esok, dan menetapkan wang jaminan RM25,000 sementara menunggu keputusan rayuan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Muhammad Saifuddin Hashim Musaini memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh memandangkan kesalahan serius yang dilakukannya.

"Demi kepentingan awam, satu hukuman setimpal wajar digunakan bagi memberi kesan kepada pelaku supaya tidak mengulanginya. Tertuduh sepatutnya memberi kenyataan betul dan benar bagi membolehkan penguatkuasa mendapat gambaran sebenar," katanya.
- Bernama

0 comments:

Post a Comment