19 January 2012

Beckham kekal di Los Angeles Galaxy

LOS ANGELES - Bintang bola sepak England, David Beckham menandatangani kontrak baru selama dua tahun dengan Los Angeles Galaxy dan berkata keluarganya berharap untuk menetap lebih lama di Amerika Syarikat.

"Saya dan keluarga amat gembira di Amerika Syarikat dan kami berharap untuk menghabiskan lebih banyak masa di sini," kata Beckham.

Bekas ketua pasukan England itu berkata, dia bersetuju dengan perjanjian baru untuk kontrak selama dua tahun mulai 2012 hingga 2013 dengan kelab Liga Bola Sepak Utama (MLS) itu.

Kontrak lima tahun yang bernilai $AS32.5 juta dengan Galaxy tamat bulan lalu.
"Ia adalah keputusan yang penting buat saya. Saya menerima banyak tawaran dari kelab seluruh dunia.
"Namun, saya masih bersemangat untuk beraksi di Amerika dan memenangi kejuaraan bersama Galaxy," katanya, yang bakal berusia 39 tahun apabila kontraknya berakhir nanti.
Butiran terperinci mengenai kontrak baru tersebut tidak dinyatakan.

Beckham menolak tawaran daripada kelab gergasi Perancis, Paris-Saint Germain yang dipercayai kerana isteri dan empat anaknya gembira dengan kehidupan di Los Angeles.
"Saya gembira kerana David memilih menyertai semula Galaxy, kerana dia mempunyai banyak pilihan untuk meneruskan karier.

"Saya rasa dia merupakan antara pemain terbaik MLS musim lalu dan kami tidak mampu mencapai kejayaan tanpanya," kata pengurus besar Galaxy yang juga jurulatih kelab itu, Bruce Arena.

Beckham membantu Galaxy memenangi Piala MLS musim lalu.
Dalam 74 perlawanan MLS musim lalu, Beckham menjaringkan 11 gol dan membantu gerakan 31 gol.
Sepanjang lima tahun Beckham bersama Galaxy, MLS semakin berkembang daripada 12 kepada 19 pasukan dan purata kehadiran penonton mencecah 17,800 orang setiap perlawanan. - AFP

0 comments:

Post a Comment