16 January 2012

Bas ekspres ragut 13 nyawa dipandu laju

KUALA LUMPUR: Bas ekpres yang terlibat dalam kemalangan maut yang mengorbankan 13 nyawa di KM 223 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran plaza tol Simpang Ampat 10 Oktober lalu, didapati dipandu 120 kilometer sejam (km/j) selepas memasuki lebuh raya itu dari tol Alor Gajah.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata itu adalah antara penemuan kajian dan analisis saintifik mengenai kemalangan itu yang dikendalikan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).

Beliau berkata berikutan kemalangan itu satu mesyuarat membabitkan agensi berkaitan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Puspakom, polis dan Pihak Berkuasa Lebuhraya Malaysia diadakan pada 14 Oktober.
Laporan mesyuarat itu dikumpul dan dianalisis oleh satu pasukan berkaitan kemalangan Miros, katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata berdasarkan laporan analisis kesan tenaga kemalangan, kemungkinan kelajuan Bas Delima yang membawa 36 penumpang itu, sebelum berhenti ialah antara 94 dan 109km/j. “Selain itu, terdapat kenderaan lain yang terbabit dalam kemalangan itu yang mungkin dipandu dengan kelajuan 160km/j pada masa kejadian,” katanya.

Dalam kejadian pada pukul 6.47 petang itu, bas ekspres Delima yang menghala ke Kuala Lumpur dari Melaka hilang kawalan, ‘melayang’ ke laluan bertentangan lebuh raya dan melanggar sebuah van, dua kereta dan sebuah lagi bas lain menyebabkan 13 maut dan 38 yang lain cedera. - Bernama

0 comments:

Post a Comment