26 January 2012

Bangunan runtuh di Brazil, tiga maut



Sebuah kereta remuk di bawah runtuhan, sementara (gambar kecil) menunjukkan beberapa buah kenderaan yang berdebu serta serpihan-serpihan bangunan selepas dua buah bangunan runtuh di pusat bandar Rio de Janeiro, Brazil, kelmarin. – AFP



RIO DE JANEIRO 26 Jan. – Sekurang-kurangnya tiga maut, sementara 16 yang lain hilang apabila dua bangunan runtuh di sini, petang semalam.

Kejadian itu berlaku berhampiran bangunan teater perbandaran di dataran bersejarah Cinelandia.

Menurut Datuk Bandar Rio De Janeiro, Eduardo Paes, dua bangunan yang runtuh tersebut masing- masing setinggi 10 dan 20 tingkat.

“Empat mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital. Masih terdapat ramai mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan, namun kami tidak dapat pastikan jumlahnya,” katanya.

Sebelum ini, siaran televisyen Globo News yang memetik kenyataan Kementerian Pertahanan melaporkan, seramai 11 maut dan cedera dalam kejadian tersebut.

Menurut saksi, terdapat beberapa kejadian letupan di kawasan terbabit sebelum kedua-dua bangunan tersebut runtuh.

Paes, bagaimanapun menjelaskan punca kejadian masih belum dapat dikenal pasti dan berkemungkinan disebabkan masalah ketidakstabilan struktur.

Sisa runtuhan memenuhi jalan-jalan sekitar bangunan 20 tingkat terbabit manakala debu tebal menyelubungi beberapa kereta berhampiran.

Bangunan 20 tingkat itu sebelum ini menempatkan beberapa buah pejabat perundangan.

Berpuluh-puluh pasukan bomba dan kecemasan dikerahkan ke tempat kejadian untuk membantu mangsa yang terperangkap.

Bangunan tersebut turut menempatkan sebuah restoran dan cawangan bank, namun tidak diketahui sama ada ia beroperasi atau sebaliknya ketika kejadian berlaku. – AFP

0 comments:

Post a Comment