15 January 2012

Bakal Pelajar Mahsa College, Adik Perempuan Maut Dalam Kebakaran

TAWAU: Hasrat seorang pelajar untuk memasuki Medical and Allied Health Sciences College (MAHSA College) musnah apabila dia meninggal dunia bersama adik perempuannya dalam satu tragedi kebakaran awal pagi Ahad.
Mayat Andi Herah Andi Muddah, 19, bersama adiknya Andi Putri Intan, 6, ditemui berpelukan di dalam biliknya dalam kejadian bakaran jam 3.45 pagi di Blok 5, Kampung Titingan, yang turut mengakibatkan 74 orang daripada 23 keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila lima buah rumah papan milik mereka musnah dijilat api.
Andi Herah atau lebih dikenali sebagai Nowet, dijadualkan melaporkan diri di MAHSA College, Cawangan Kota Kinabalu pada 28 Jan ini.
Andi Herah dan Andi Putri Intan yang masing-masing merupakan anak kedua dan keempat daripada lima beradik, tinggal bersama ibu bapa dan dua lagi adiknya di tingkat bawah rumah dua tingkat manakala neneknya dan 10 anggota keluarganya di tingkat atas rumah itu.
Nenek mangsa, Rahmah Beddu Rahman, 65, yang tinggal di tingkas atas berkata dia cuma menyedari kebakaran itu setelah mendengar teriakan dari luar rumahnya yang mengatakan ada kebakaran.
"Dalam keadaan yang gelap, saya bangun dan terus mencari cucu saya yang berusia satu, tiga dan seorang lagi cucu saya berumur enam tahun yang tidur bersama saya lalu membawa mereka turun menyelamatkan diri dari tingkat melalui tangga dapur dengan mengengsot," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.
Katanya usaha bapa Andi Herah, Andi Muddah Manawang, 51, untuk menyelamatkan Andi Herah dan Andi Putri Intan bagaimanapun gagal walaupun selepas beberapa kali menendang pintu bilik anaknya itu yang terkunci dari dalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Rudy Fredzek berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 3.50 pagi dan tiba di tempat kejadian dalam tempoh beberapa minit bersama dua jentera dan 21 anggota.
Katanya semasa tiba api telah marak dengan kuat yang turut memusnahkan sebuah kereta baru dan sebuah lori kecil, namun ia berjaya dikawal pada pukul 4.52 pagi.
Punca kebakaran dan kerugian sedang disiasat. Pembantu Menteri Kewangan Sabah yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Apas, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan yang melawat tempat kejadian dan menziarahi keluarga mangsa melahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga berkenaan.
Katanya semua mangsa akan diberi bantuan sewajarnya termasuk menyediakan barangan seperti kayu, zink dan papan untuk membolehkan mereka membina semula rumah masing-masing secepat mungkin.

0 comments:

Post a Comment