27 January 2012

'Bagaikan mimpi'

Nadal
Nadal
 
MELBOURNE: Rafael Nadal berkata, ia ibarat 'mimpi' apabila menempah tempat ke final Terbuka Australia selepas ditimpa kecederaan sebelum kejohanan yang hampir menyebabkan dia menangis di bilik hotelnya.

Pemain Sepanyol itu menewaskan Roger Federer 6-7 (5/7), 6-2, 7-6 (7/5), 6-4 untuk melangkah ke final keduanya di Melbourne kelmarin - selepas insiden yang berlaku sejurus sebelum perlawanan pusingan pertama itu. 

Nadal sedang berehat di hotelnya apabila dia tiba-tiba mengalami kesakitan di lutut kanannya yang bermasalah dan tidak boleh membengkokkan kakinya, menyebabkan dia diberi rawatan bagi memastikan dia cergas untuk bermain.
“Tengahari Ahad lalu, 24 jam menjelang perlawanan pertama, saya menangis di bilik kerana saya percaya saya tidak akan berpeluang bermain di Melbourne,” katanya.

“Dua minggu kemudian, saya berada di final, jadi ini adalah mimpi bagi saya kerana saya mengalami pengalaman buruk 24 jam sebelum perlawanan pertama dan kini selepas dua minggu, saya dapat bermain dengan baik dan berada di final.

“Bermain dalam final Grand Slam adalah berita baik. Saya berada dalam empat final Grand Slam terakhir, jadi saya rasa ini adalah satu usaha yang bagus.”

Nadal akan bertemu juara bertahan, Novak Djokovic selepas pemain Serbia itu menewaskan Andy Murray 6-3, 3-6, 6-7, 6-1, 7-5 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir, semalam. – AFP

0 comments:

Post a Comment