15 January 2012

Baddrol kecewa Kedah sekadar raih satu mata

PENYERANG kebangsaan, Baddrol Bakhtiar hanya mampu memandang geram ketika menyaksikan Kedah seri tanpa jaringan dengan Lions XII Singapura di Stadium Darul Aman kelmarin.

Menurutnya, dia agak kecewa kerana rakan sepasukan gagal mencuri mata walaupun memperoleh banyak peluang jaringan.
“Saya memang geram dan tidak sabar untuk beraksi semula walaupun hampir pulih dari kekejangan paha kiri tetapi ketua jurulatih (Nidzam Adzha Yusof) tidak mahu mengambil risiko untuk menurunkan saya dalam kesebelasan utama.
“Kalau boleh saya mahu diturunkan pada perlawanan bertemu PKNS, Selasa ini (esok) dan membantu meningkatkan prestasi Kedah,” katanya yang tetap lega apabila menghampakan hajat skuad bimbingan V Sundramoorthy daripada meraih kemenangan pertama.

Walaupun berada di kelompok bawah Liga Super, Baddrol berkata, dia tidak bimbang dengan kedudukan ketika ini kerana saingan baru bermula dua perlawanan dan jurang mata juga tidak besar berbanding pasukan kelompok pertengahan.

Kapten skuad Harimau Muda yang menjulang pingat emas pada Sukan SEA Indonesia tahun lalu, berkata sasaran Kedah kini ialah meraih mata penuh apabila turun menentang PKNS dalam perlawanan ketiga liga.

“Rakan sepasukan juga sedar di mana kelemahan kami dan mereka akur perlu meningkatkan lagi prestasi terutama ketajaman di barisan depan,” katanya yang mengalami kecederaan ketika aksi pemanas badan menentang Perlis sebelum liga bermula.

0 comments:

Post a Comment