Azmin Ali
PETALING JAYA - Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) bersiap sedia menghadapi serangan balas bekas Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Ali dalam mempertahankan kedudukan yang lebih selesa di Selangor.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata, Kerajaan Negeri yakin dengan segala bukti dan fakta yang dikumpulkan mampu menangkis serangan yang dilakukan Hasan dalam siri jelajahnya.

Katanya, persiapan itu bagi memastikan PR tidak terlibat dengan tuduhan yang tidak berasas mahupun fitnah.

“Kami bersedia untuk menjawab malah telah me­ngumpulkan fakta-fakta kerana tidak mahu terlibat dengan tuduhan tidak berasas dan fitnah. Kami telah melihat di mana kekuatannya, kami telah melihat siapa penganjur dan kami sudah tahu siapa di belakang Hasan.

“Kita serah kepada rakyat dan yakin rakyat cukup matang untuk menilai kenyataan itu sama ada berasas atau tidak atau sekadar emosi kerana dipecat oleh parti,” katanya kepada Sinar Harian dalam wawancara eksklusif di pejabatnya, semalam.

Menurut Azmin, kenyataan yang dilontarkan Hasan yang lantang mengkritik parti sebelum ini amat mengecewakan, kerana kenyataan itu tidak berlandaskan semangat PR.

“Hasan perlu berterus terang kepada rakyat apakah tindakannya itu atas kehendak atau keinsafan dirinya sendiri atau beliau sanggup diperlembukan oleh anasir luar.

“Beliau yang perlu berterus terang. Saya tidak mahu membuat spekulasi,” katanya mengulas apakah tindakan Hasan yang lantang mengkritik parti dipengaruhi oleh anasir luar mahupun sikapnya sendiri.

Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, tindak tanduk dan kenyataan Hasan jelas telah melanggar dasar bersama Pakatan.

Justeru itu, beliau telah melontarkan cadangan kepada Pas.

“Saya minta Pas ambil tindakan yang sewajarnya. Apa bentuk tindakan, saya serahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan Pas. Saya yakin apa yang dilakukan kepimpinan Pas telah mengambil kira maklum balas anggota parti dan Kerajaan Negeri.

“Saya tidak menentukan jenis hukuman yang sepatut­nya, kerana sebagai Exco Selangor, beliau sepatutnya bertanggungjawab mempertahankan dasar negeri yang telah dimuafakati secara bersama oleh PR.

“Jangan dicari salah orang lain, sama ada saya atau Ketua Umum PR Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tiada kaitan, ini keputusan yang dibuat oleh Pas,” katanya.

Mengulas berhubung parasit parti yang didakwa Hasan berlaku dalam kepimpinan Pas, Azmin berkata, beliau (Hasan) adalah parasit dan musuh dalam selimut.

Beliau turut bersetuju de­ngan artikel tokoh aktivitis Pas, Shukri Latif yang menggambarkan Hasan sebagai buah buruk yang menunggu gugur, dijolok jatuh, tidak dijolok pun tetap akan jatuh.

“Bagi saya keputusan kepimpinan Pas memecat Hasan adalah atas pertimbangan. Hasan adalah parasit dalaman parti dan musuh dalam selimut.

“Saya cukup menghormati pucuk kepimpinan Pas, berani bertegas dan berani memberi isyarat keras supaya jangan menjadi musuh dalam selimut dalam Pakatan kerana muafakat yang cukup jelas atas dasar bersama,” katanya.