14 January 2012

Atlet akan dihukum

Atlet akan dihukum
KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) akan menubuhkan badan penyiasat bebas bagi menentukan hukuman sesuai dikenakan sekiranya ujian sampel B juga didapati positif ke atas atlet yang sebelum ini gagal dalam ujian tersebut.

Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, badan bebas itu akan dianggotai wakil beberapa pihak berkepentingan seperti Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN), Persekutuan Atlet Amatur Antarabangsa (IAAF) dan Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas).

“KOM menentang habis-habisan penggunaan dadah, jadi kita tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak, itu prinsip kita,” katanya yang hanya akan mengumumkan tindakan yang disyorkan oleh badan penyiasat bebas tersebut setelah mendapat keputusan rasmi daripada Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Indonesia (Inasoc) berkaitan ujian sampel B.

Sebelum ini, media melaporkan dua atlet negara yang meraih pingat pada acara sukan olahraga dan angkat berat didapati positif ujian anti-doping sampel A oleh Inasoc pada 21 Disember tahun lalu akan berdepan hukuman selepas ujian penentuan sampel B.

Chef-de-Mission ke Jakarta, Datuk Naim Mohamad telah menghantar surat rasmi berkaitan ujian penentuan dua sampel B itu kepada wakil Inasoc, Indra Kartasasmita Ahad lalu.

Dalam perkembangan lain, ketika mengulas isu Siti Fatimah Mohamad yang secara rasmi menyertai acara berbasikal setelah bosan dengan kemelut dalaman KOM, Shahidan berkata, badan induk olahraga negara tidak pernah menghalang atlet naungan termasuk atlet pecut kebangsaan Siti Fatimah menyertai sukan lain.

“Itu hak masing-masing dan kalau dia (Siti Fatimah) rasa itu yang terbaik untuk mengubah nasibnya di bidang lain, kita akan menyokong, tiada masalah namun yang penting mereka boleh memberi sumbangan kepada negara,” katanya.

Siti Fatimah kini menjalani ujian bagi menentukan kesesuaiannya mengambil bahagian dalam acara berbasikal.

0 comments:

Post a Comment