14 January 2012

AS keluarkan amaran pengganas di Thailand

BANGKOK: Amerika Syarikat mengeluarkan amaran ancaman pengganas terhadap pelancong asing di Thailand dan berkata mereka sedang menjejaki dua suspek yang memasuki negara itu.
“Pengganas warga asing mungkin sedang mencari jalan untuk melakukan serangan di kawasan pelancongan dalam masa terdekat,” kata kedutaan Amerika Syarikat di Bangkok dalam satu mesej kecemasan yang disiarkan di laman webnya.

Duta Besar AS, Kristie Kenney menulis di laman Twitter, ancaman itu “boleh dipercayai” dan khusus di Bangkok.

“Warga AS digesa supaya berhati-hati ketika berada di kawasan awam di mana kumpulan pelancong barat berkumpul di Bangkok,” katanya.


Kerajaan Thailand berkata, mereka diberitahu oleh Amerika Syarikat bahawa dua orang suspek “pengganas” Islam telah tiba di Thailand.

Menteri Pertahanan, Jeneral Yutthasak Sasiprapha berkata, “Pihak AS menghubungi kami malam semalam mengenai dua pengganas yang masuk ke Thailand dan merancang aktiviti keganasan.”

“Pegawai perisikan kami sedang bekerjasama dengan AS dan memantau pergerakan pengganas itu. Kami akan menahan mereka malam ini.”

“Tidak perlu membuat sebarang pengumuman atau amaran kerana ia akan menyebabkan panik dan menjejaskan sektor pelancongan,” katanya.

Imej Thailand yang mesra pelancong terjejas teruk tahun lalu disebabkan banjir yang melanda hampir keseluruhan negara itu dan juga masalah politik dan tunjuk perasaan yang dilakukan sejak beberapa tahun lalu. - Bangkok Post

0 comments:

Post a Comment