20 January 2012

AS dakwa 7 orang jalankan urus niaga dalaman

NEW YORK 19 Jan. - Pendakwa raya Amerika Syarikat (AS) mendakwa tujuh orang yang digambarkan sebagai sekumpulan rakan yang membentuk sebuah kelab jenayah, atas tuduhan menjalankan skim urus niaga dalaman membabitkan wang berjumlah AS$62 juta (RM192 juta).

Pendakwaan itu adalah tindakan terbaru dalam siasatan selama bertahun-tahun terhadap urus niaga mencurigakan di firma-firma dana lindung nilai.

Biro Siasatan Persekutuan (FBI) di New York menangkap empat orang semalam dan pihak berkuasa mengumumkan tuduhan yang dirahsiakan sebelum ini terhadap tiga yang lain, menjadikannya antara serbuan terbesar dalam siasatan Kerajaan Persekutuan AS.

Tujuh yang didakwa itu bekerja untuk lima firma pelaburan dan dana lindung nilai yang berbeza dan mengaut keuntungan haram hampir AS$62 juta (RM192 juta) daripada urus niaga saham Dell Inc., kata pendakwa raya.

Keuntungan itu hampir sama dengan keuntungan urus niaga dalaman yang dikaut oleh Raj Rajaratnam, pengasas dana lindung nilai Galleon Group.

Diberi nama 'Operasi Perfect Hedge' oleh FBI, siasatan itu tertumpu kepada dakwaan berlakunya perkongsian maklumat perniagaan sulit dengan penganalisis dan pengurus dana lindung nilai.

Defendan yang ditangkap, semalam termasuk Anthony Chiasson yang merupakan pengasas bersama dana lindung nilai Level Global Investors.

Turut ditangkap ialah Todd Newman, bekas ketua urus niaga teknologi bagi dana lindung nilai Diamondback Capital Management dari Boston, serta seorang lagi bekas kakitangan dana itu, Jesse Tortora. - REUTERS

0 comments:

Post a Comment